
NEW YORK: Jet perniagaan terhempas di North Carolina semalam, mengorbankan kesemua tujuh individu di dalam pesawat termasuk seorang bekas pemandu lumba NASCAR dan ahli keluarganya, menurut pihak berkuasa.
Sheriff Daerah Iredell, Darren Campbell, mengesahkan tiada mangsa terselamat dalam kejadian tersebut. “Terdapat tujuh orang di dalam pesawat dan semuanya terkorban,” katanya.
Menurut Rondaan Lebuhraya Negeri North Carolina, pesawat berkenaan baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Statesville, yang terletak di utara bandar Charlotte, sebelum berpatah balik untuk mendarat dan seterusnya terhempas.
NASCAR mengesahkan salah seorang mangsa ialah bekas pemandu lumba terkenal, Greg Biffle. Dalam satu kenyataan di platform X, NASCAR menyatakan rasa dukacita atas pemergian Biffle yang disifatkan sebagai antara 75 pemandu terhebat dalam sejarah sukan itu serta dikenali dengan kerja-kerja kemanusiaannya selepas bersara.
“Keluarga NASCAR amat berdukacita atas kehilangan Greg Biffle. Kami merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga dan rakan-rakannya,” menurut kenyataan tersebut.
Turut terkorban ialah isteri beliau, Cristina Grossu Biffle, serta dua orang anak mereka, menurut Ahli Kongres Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Richard Hudson, yang juga rakan keluarga mangsa.
Hudson dalam hantaran media sosial berkata beliau amat terkesan dengan tragedi itu dan menyifatkan keluarga tersebut sebagai individu yang menjalani kehidupan dengan memberi tumpuan kepada usaha membantu orang lain.
Media tempatan melaporkan keadaan cuaca buruk, termasuk gerimis dan awan rendah, mungkin menjadi faktor penyumbang kepada nahas tersebut.
Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) memaklumkan satu pasukan penyiasat akan dihantar bagi menyiasat punca nahas melibatkan pesawat jenis Cessna Citation C550 itu.
-AFP