Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus, kembali beraksi selepas 11 bulan diketepikan akibat kecederaan. Foto fail AFP
LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata Gabriel Jesus memiliki kualiti untuk muncul sebagai penyerang pilihan utama kelab itu susulan kepulangan pemain antarabangsa Brazil berkenaan selepas 11 bulan berehat akibat kecederaan.
Pemain berusia 28 tahun itu tampil buat pertama kali sejak mengalami kecederaan lutut pada Januari apabila dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Club Brugge dalam Liga Juara-Juara UEFA pada Rabu lalu.
Jesus perlu bersaing dengan Viktor Gyokeres serta Kai Havertz, yang kini diketepikan akibat kecederaan lutut, bagi mengemudi jentera serangan Arsenal.
Arteta turut memiliki beberapa pilihan lain di posisi serangan termasuk Bukayo Saka, Eberechi Eze, Gabriel Martinelli, Noni Madueke dan Leandro Trossard.

Pengurus dari Sepanyol itu, yang akan menerima kunjungan pasukan tercorot Wolves awal pagi esok, ditanya pada sidang media pra-perlawanan sama ada Jesus berpotensi menjadi penyerang nombor satu kelab.
“Ya, pemain dengan kualiti sepertinya, yang telah banyak menyumbang kepada pasukan dan kembali dengan tenaga seperti yang ditunjukkan tempoh hari,” kata Arteta.
“Dia pastinya seorang pemain yang perlu menolak dan mensasarkan peranan itu.”
Arteta juga ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk menjual bekas bintang Manchester City itu memandangkan lambakan pilihan serangan, namun menolak idea berkenaan.
“Gabriel masih banyak yang boleh ditawarkan kepada pasukan dan dia membuktikannya sejak minit pertama dia kembali beraksi,” katanya.
“Dia telah berusaha keras untuk berada di tahap ini semula dan kini fokusnya adalah bersama kami.”
Arteta turut menegaskan jaringan gol akan hadir buat Gyokeres yang bergelut, selepas hanya menjaringkan satu gol dalam Liga Perdana Inggeris sejak pertengahan September.
Menurutnya, pasukan dan penyerang berusia 27 tahun itu perlu saling menyesuaikan diri.
“Kami perlu meletakkan pemain dalam keadaan terbaik untuk meledak dan memenuhi potensinya. Dalam peranan serta cara permainan kami, ada perkara tertentu yang perlu dipenuhi — ia gabungan kedua-duanya,” jelas Arteta.
“Dia mengambil sedikit masa pada awalnya kerana liga berbeza, tuntutan berbeza, tiada pra-musim, dan kini dia mula mendapatkan momentum. Gol akan hadir dan kami akan sangat berpuas hati dengannya.”
Arsenal kini mendahului carta liga dengan kelebihan dua mata ke atas Manchester City menjelang kunjungan Wolves, yang tewas dalam lapan perlawanan liga terakhir mereka.
Arteta bagaimanapun tidak memberi kepastian mengenai kemungkinan kembalinya beberapa tonggak utama termasuk pertahanan tengah William Saliba dan pemain tengah Declan Rice.
Beliau berkata kedua-duanya akan dinilai sebelum perlawanan di Emirates Stadium, sambil menambah terdapat juga ketidaktentuan mengenai tahap kecergasan Jurrien Timber dan Trossard. — AFP