Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Jerman persoal identiti bola sepak selepas gagal lagi di Piala Dunia
  • SUKAN

Jerman persoal identiti bola sepak selepas gagal lagi di Piala Dunia

Utusan Sarawak 3 hours ago
PEMAIN Paraguay, Mauricio Magalhaes Prado, meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas Jose Canale menyempurnakan sepakan penalti kemenangan dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 antara Jerman dan Paraguay di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, pada awal pagi tadi. Foto AFP

BERLIN, Jerman: Satu lagi kegagalan di Piala Dunia telah menyebabkan Jerman mempersoalkan identiti bola sepak mereka, dengan sesetengah pihak menyeru perubahan besar di semua peringkat dalam negara yang begitu sinonim dengan sukan itu.

Kekalahan mengejut Jerman kepada Paraguay dalam pusingan 32 pada awal pagi tadi yang juga merupakan kekalahan pertama mereka menerusi penentuan penalti di Piala Dunia, terus menandakan kemerosotan ketara juara empat kali itu daripada kelompok elit bola sepak dunia.

Jerman kini tersingkir awal dalam tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.

Sejak menewaskan Argentina 1-0 untuk memenangi Piala Dunia 2014, Jerman bukan sahaja gagal memenangi sebarang perlawanan kalah mati di kejohanan itu, malah turut gagal mencatatkan satu pun ‘clean sheet’.

Desakan untuk memecat jurulatih Julian Nagelsmann semakin meningkat, khususnya dengan bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang dilihat seolah-olah berada dalam senarai calon untuk mengambil alih.

Pihak lain, termasuk Klopp sendiri, turut menyeru perubahan lebih menyeluruh terhadap struktur bola sepak di Jerman.

PEMAIN Paraguay, Gustavo Gomez bersaing merebut bola di udara dengan pemain pertahanan Jerman, Jonathan Tah dalam perlawanan pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 antara Jerman dan Paraguay di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, pada awal pagi tadi. Foto AFP

Semakin jauh daripada kelompok elit

Walaupun jangkaan terhadap mereka semakin rendah selepas sedekad prestasi hambar, media Jerman tetap mengkritik pasukan Julian Nagelsmann selepas tewas kepada Paraguay yang berada di kedudukan ke-41 dunia. Paraguay sebelum itu tewas 4-1 kepada tuan rumah Amerika Syarikat dalam perlawanan pembukaan kejohanan.

Akhbar harian Munich, Sueddeutsche Zeitung, menyifatkan keputusan itu sebagai “penghinaan baharu” dan berkata Jerman “pulang dengan keputusan yang memang layak”.

Majalah bola sepak Jerman, Kicker, pula menyifatkan kekalahan itu sebagai bukti bahawa Jerman semakin jauh daripada kelompok elit bola sepak dunia.

Dahulu, Jerman dikenali sebagai negara yang banyak melahirkan pemain berbakat melalui kelab tempatan. Namun kini, keupayaan mereka menghasilkan pemain berkualiti dilihat semakin ketinggalan berbanding negara seperti Perancis, Sepanyol dan England dalam tempoh sedekad lalu.

Walaupun Jerman merupakan negara paling ramai penduduk di Eropah dan bola sepak ialah sukan utama, mereka kini kekurangan pemain pelapis berkualiti.

Walaupun beberapa pemain utama seperti Lennart Karl, Serge Gnabry dan Nico Schlotterbeck cedera, negara Eropah lain masih mampu menurunkan pemain bintang mereka di bangku simpanan.

Kicker turut menyenaraikan pemain seperti Eduardo Camavinga, Christopher Nkunku dan Randal Kolo Muani (Perancis), Phil Foden, Trent Alexander-Arnold dan Cole Palmer (England), serta Dean Huijsen (Sepanyol) sebagai contoh.

Kekurangan pemain berkualiti menyebabkan tekanan lebih tinggi kepada pemain utama Jerman untuk menunjukkan prestasi terbaik.

Kai Havertz, Florian Wirtz dan Jamal Musiala memasuki kejohanan ini selepas musim yang mencabar dan gagal mencapai prestasi terbaik mereka di Amerika Utara, walaupun masih menunjukkan beberapa aksi berkualiti.

PEMAIN Jerman berbaris semasa penentuan sepakan penalti selepas perlawanan pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 antara Jerman dan Paraguay di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, pada awal pagi tadi. Foto AFP

Mampukah Jerman bangkit semula?

Nagelsmann menerima sebahagian besar kritikan susulan kegagalan Jerman di Piala Dunia.

Pelantikannya sebagai ketua jurulatih sebelum ini dianggap satu kejayaan besar buat Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), memandangkan beliau turut menjadi buruan beberapa kelab elit Eropah.

Namun, pencapaian terbaik jurulatih berusia 38 tahun itu setakat ini hanyalah membawa Jerman ke pusingan 16 Euro 2024 sebelum tewas kepada Sepanyol di laman sendiri. Susulan itu, semakin ramai berpendapat DFB tidak seharusnya terlalu lama mengekalkan jurulatih selepas kegagalan di Piala Dunia, seperti yang berlaku kepada dua jurulatih terdahulu, Joachim Löw dan Hansi Flick.

Bekas pemenang Piala Dunia 1990, Lothar Matthäus, menulis dalam kolumnya di Bild bahawa Nagelsmann kurang mempunyai “imaginasi” dan menggesa Jerman mendapatkan jurulatih baharu.

Nagelsmann mengakui pasukan itu memerlukan “perubahan besar”, namun menegaskan beliau bersedia untuk terus memimpin skuad sekiranya masih mendapat kepercayaan DFB.

“Saya bukan jenis orang yang melarikan diri. Saya bersedia untuk meneruskan tugas jika DFB masih mahukan saya,” katanya.

Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, menunjukkan reaksi kecewa selepas Jerman tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay dalam perlawanan pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, pada awal pagi tadi. Foto AFP

Sementara itu, Jurgen Klopp yang bertugas sebagai pengulas sepanjang kejohanan turut menjadi perhatian kerana sering dikaitkan sebagai calon pengganti Nagelsmann.

Sebelum perlawanan pertama Jerman, Klopp menerima kritikan selepas bergurau bahawa Nagelsmann hanya mengendalikan pasukan itu “buat masa ini”, sekali gus mencetuskan tanggapan bahawa beliau hanya memegang jawatan itu untuk sementara.

Bagaimanapun, hari ini, Klopp menolak andaian bahawa beliau akan mengambil alih pasukan. Sebaliknya, beliau menegaskan bola sepak Jerman memerlukan perubahan yang lebih menyeluruh, bermula daripada pembangunan pemain di peringkat bawah umur 10 tahun.

“Lihat sahaja Paraguay,” kata Klopp sambil merujuk kepada sambutan pemain negara Amerika Selatan itu selepas kemenangan mereka.

“Mereka semua menangis. Itulah betapa besarnya makna layak ke pusingan 16 buat mereka.”

Menurut Klopp, Jerman terlalu selesa bergantung pada kejayaan yang pernah dikecapi pada masa lalu.

“Kita ini Jerman? Tidak, kita pernah menjadi Jerman. Jika mahu menjadi kuasa bola sepak Jerman semula, kita perlu melakukan perubahan.

“Ia bukan soal nama. Bukan tentang saya dan bukan juga tentang Julian.

“Julian betul. Pasukan ini memang mahu menang, tetapi mereka gagal melaksanakannya dalam beberapa aspek.

“Sekarang kita perlu bertanya, mengapa perkara itu berlaku?” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Nagelsmann pertahan jawatan, khabar angin Klopp semakin hangat selepas Jerman tersingkir mengejut

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.