
BERLIN, Jerman: Pakar memaklumkan bahawa usaha menyelamat seekor paus bongkok yang bergelut di perairan cetek di luar pantai Jerman dihentikan dan harapan terhadap kelangsungan hidupnya telah pun pupus.
Haiwan sepanjang 13.5 meter (44 kaki) itu telah terumbang-ambing di perairan Laut Baltik, Jerman, selama lebih seminggu selepas pertama kali dikesan terperangkap di beting pasir pada 23 Mac berhampiran bandar Luebeck.
Haiwan tersebut berjaya melepaskan diri, namun terperangkap semula beberapa kali berhampiran bandar Wismar. Liputan mengenai perjuangannya untuk terus hidup telah menarik perhatian sebahagian besar masyarakat Jerman.

Sebelum ini, pakar berharap pengembaraan paus itu akan berakhir dengan ia menemui semula habitat asalnya di Lautan Atlantik.
Namun begitu, baru-baru ini, saintis Burkard Baschek yang terlibat dalam usaha menyelamat itu memberitahu wartawan, “Kami yakin haiwan itu akan mati” berhampiran Wismar.
Menurut beliau, keadaan getir yang dialami paus itu telah melemahkannya dengan teruk; pernafasannya menjadi “sangat tidak teratur” dan ia hampir tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap kehadiran manusia.

Peluang untuk haiwan itu melepaskan diri sekali lagi adalah “sangat rendah” dan sebarang usaha menyelamat tambahan hanya akan menjadi “kekejaman terhadap haiwan”.
Sejak dikesan minggu lalu, paus itu telah mencetuskan operasi menyelamat berskala besar yang melibatkan anggota bomba, saintis dan polis maritim.
“Kini tugas kita adalah untuk memberinya ketenangan,” kata Till Backhaus, Menteri Alam Sekitar bagi negeri Mecklenburg-Western Pomerania.
Haiwan itu kini “terpaksa mengakhiri hayatnya,” katanya.
Zon larangan sejauh 500 meter akan diwujudkan di sekeliling paus tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan.
Pihak berkuasa menolak cadangan untuk menidurkan paus itu dengan alasan tindakan tersebut terlalu berbahaya sama ada kepada haiwan berkenaan mahupun kepada anggota yang terlibat dalam operasi.
Sekiranya paus itu mati, Backhaus berkata bangkainya akan dipindahkan ke darat untuk siasatan bagi menentukan punca kematian. – AFP