



BERLIN: Wabak selesema burung kini merebak ke ladang ternakan di sembilan daripada 16 negeri persekutuan Jerman, menurut agensi kesihatan haiwan persekutuan negara itu pada Khamis, lapor Xinhua.
Institut Friedrich Loeffler (FLI) memaklumkan bahawa sebanyak 45 kes jangkitan selesema burung disahkan sejak awal September, menyebabkan lebih 500,000 haiwan ditakai ekoran penularan pantas virus H5N1.
Negeri Lower Saxony di barat laut Jerman mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 13 ladang ternakan disahkan dijangkiti.
Bagi membendung penularan virus itu, beberapa negeri di Jerman mula melaksanakan langkah pencegahan.
Saarland, yang bersempadan dengan Perancis dan Luxembourg menjadi negeri pertama mengarahkan semua haiwan ternakan diternak di dalam reban mulai Khamis.
Hamburg turut mengambil langkah sama dengan melaksanakan larangan pembiakan secara bebas mulai Jumaat.
Ahli virologi Jerman, Klaus Stoehr pada Rabu memberi amaran bahawa penularan selesema burung yang semakin meluas di seluruh negara itu berpotensi mencetuskan satu lagi pandemik.- Bernama-Xinhua