KOTA SAMARAHAN: Jerebu tebal yang melanda Kota Samarahan hari ini menyebabkan jarak penglihatan berkurangan dengan pemandangan bangunan dan kawasan di sepanjang jalan utama kelihatan samar.
Tinjauan Utusan Sarawak sekitar 2.30 petang di Market Bandar Riyal mendapati orang ramai mengunjungi pasar bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan, manakala peniaga menjalankan urusan jual beli seperti biasa.

Suasana di dalam pasar menyaksikan pengunjung bergerak dari satu gerai ke satu gerai untuk membeli antaranya ikan, ayam, sayur-sayuran dan hasil segar.
Di kawasan terbuka pula, kesan jerebu lebih ketara apabila bangunan, pokok serta persekitaran di kejauhan kelihatan kabur akibat keadaan udara yang kurang baik.
Berdasarkan semakan NREB, Samarahan merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) 342 setakat 2.00 petang sekali gus berada pada kategori Berbahaya, iaitu tahap bagi bacaan IPU melebihi 300.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar, mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar serta menggunakan pelitup hidung dan mulut ketika berada di luar, selain sentiasa mengikuti perkembangan kualiti udara menerusi saluran rasmi.
Oleh Norman B





