KUCHING: Sarawak berkemungkinan terus mengalami jerebu dalam beberapa hari akan datang sekiranya pembakaran biojisim semakin meningkat di luar sempadan negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keadaan itu berlaku berikutan negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berakhir September ini.
“Tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya berpotensi menyebabkan jerebu rentas sempadan serta kemerosotan kualiti udara ambien di Sarawak.
“Setakat 4.00 petang hari ini, dua kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori sangat tidak sihat iaitu Tebedu dengan bacaan 212 dan Serian 202,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak 11 kawasan pula berada dalam kategori tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju, Miri, Lundu, Lubok Antu dan Lawas.
“Lima kawasan lagi berada dalam kategori sederhana iaitu Mukah, Kapit, ILP Miri, Limbang dan Bario, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan dalam kategori baik dan berbahaya.
“Kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan trend peningkatan bacaan IPU sejak 1 Ogos lalu,” jelasnya.
Sementara itu, laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) bagi tempoh 1 hingga 11 Ogos mengesan 75 titik panas di Sarawak, berbanding 3,853 titik panas di Kalimantan, Indonesia.
Penutupan sekolah
Kenyataan JPBNS menjelaskan, menurut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak apabila bacaan IPU mencecah 200.
“Susulan bacaan IPU melebihi 200 di Bahagian Serian, sebanyak 108 sekolah di kawasan berkenaan ditutup sementara sebagai langkah pencegahan bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.
“Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas,” tambahnya.
Larangan pembakaran
JPBNS juga turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran udara, terutama ketika musim panas.
“Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Bab 84) Undang-Undang Sarawak 1958.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang awam diminta membantu memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka kepada pejabat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) berdekatan atau talian 082-447488 dan 082-319500,” jelasnya.
Nasihat kepada orang awam
JPBNS menasihatkan orang ramai supaya:
- Mengurangkan aktiviti di luar rumah, khususnya apabila bacaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat atau lebih tinggi.
- Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar.
- Mengelakkan aktiviti fizikal lasak dan sukan di luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
- Menggunakan pelitup muka yang bersesuaian sekiranya perlu berada di luar.
- Mengawal pengudaraan di dalam bangunan serta menutup pintu dan tingkap sekiranya kualiti udara luar semakin tercemar.
- Memantau bacaan kualiti udara melalui sumber rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mematuhi nasihat kesihatan pihak berkuasa.
- Tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa.
JPBNS bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas dan kejadian kebakaran di seluruh Sarawak serta menyelaras tindakan mengikut perkembangan semasa.





