Jerebu: Sambutan Hari Kebangsaan di Sarawak dibatalkan

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 yang sepatutnya berpusat di Kapit tidak diadakan susulan keadaan jerebu yang melanda sebahagian besar negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan berkenaan dibuat mengambil kira keadaan jerebu yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

“Pada tahun ini kita tidak mengadakan perhimpunan peringkat negeri yang sepatutnya berpusat di Kapit ekoran daripada jerebu yang melanda sebahagian besar daripada negeri ini,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Sarawak 2026.

Bagaimanapun, beliau menggesa rakyat Sarawak terus menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini serta memelihara perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan tetap menjadi ruang untuk rakyat menghayati nilai perpaduan dan kebersamaan walaupun perhimpunan peringkat negeri tidak dapat diadakan seperti dirancang.

“Sempena Hari Kebangsaan Ke-69 ini, marilah kita terus menghargai keamanan dan keharmonian yang kita nikmati selama ini serta memelihara perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Abang Johari turut mengajak seluruh rakyat bersama-sama membina Sarawak yang akan menjadi kebanggaan kepada generasi akan datang.

Beliau pada masa sama mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 kepada seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia.