Jerebu rentas sempadan selatan ASEAN dikesan di Filipina

Facebook
WhatsApp
PEMANDANGAN matahari yang suram akibat jerebu dirakam berhampiran Tebingan Sungai Kuching, hari ini. Foto BERNAMA

SINGAPURA: Jerebu rentas sempadan dari selatan ASEAN kini dikesan di Filipina, dengan kepulan asap sederhana direkodkan di beberapa kawasan di Palawan dan Panay, menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC).

Dalam laporan harian cuaca dan jerebu, ASMC berkata kepulan asap rentas sempadan pada tahap sederhana hingga tebal meliputi Kalimantan Utara, Barat dan Tengah, Sabah, Sarawak, Brunei serta Filipina.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di kawasan lain di Kalimantan dan bahagian selatan Sumatera.

“Jerebu pada tahap sederhana turut dikesan di bahagian tengah Sumatera,” menurut ASMC pada Selasa.

ASMC berkata stesen pemantauan kualiti udara di bahagian utara dan tenggara Borneo serta selatan Sumatera terus merekodkan tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Pusat itu turut memberi amaran bahawa sebahagian besar wilayah selatan ASEAN dijangka kekal kering dalam beberapa hari akan datang.

“Sekiranya keadaan kering berpanjangan, situasi titik panas dan jerebu dijangka kekal tinggi di kawasan yang terdedah kepada kebakaran, dengan risiko berterusan berlakunya jerebu rentas sempadan,” menurut ASMC. – Bernama