KUCHING: Masalah jerebu yang melanda Sarawak setiap tahun perlu dilihat sebagai isu rentas sempadan yang memerlukan tindakan dan penyelesaian bersama di peringkat serantau, kata Ahli Majlis Gerald Goh.
Menurut Goh, Sarawak boleh terus memperkukuh kesiapsiagaan menerusi pemantauan awal, program kesedaran awam dan penglibatan komuniti. Namun, beliau menegaskan bahawa apabila jerebu merentasi sempadan negara, tindakan untuk menanganinya juga perlu melangkaui sempadan.
Beliau berkata Komuniti Jerebu Rentas Sempadan ASEAN perlu memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu perkongsian maklumat titik panas dan data satelit dengan lebih pantas, tindakan bersama yang lebih tegas terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang tidak bertanggungjawab, serta memastikan pihak yang menyebabkan kebakaran dipertanggungjawabkan.
“Paling penting, ASEAN perlu memberi lebih penekanan kepada langkah pencegahan berbanding tindak balas. Mencegah kebakaran sebelum ia berlaku adalah jauh lebih berkesan daripada bertindak selepas kerosakan berlaku,” katanya.
Goh berkata, jerebu tidak mengenal sempadan politik dan oleh itu, kerjasama serantau tidak seharusnya terhenti di sempadan negara.
Beliau berkata, Sarawak bersedia berkongsi pengalaman dan bekerjasama rapat dengan negara jiran ASEAN bagi mewujudkan rantau yang lebih bersih, sihat dan berdaya tahan.
Katanya, kerjasama itu juga penting bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan dalam menangani masalah jerebu.
Oleh Connie Chieng





