KUCHING: Keadaan jerebu di beberapa kawasan di Sarawak menunjukkan sedikit penurunan setakat tengah hari ini berbanding bacaan 8.00 pagi tadi, namun lima kawasan masih merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya.
Berdasarkan data IPU Sarawak pada 12.00 tengah hari, Lubok Antu mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 331, diikuti Kanowit (316), Lundu (315), Kuching (311) dan Serian (305).
Bacaan di kelima-lima kawasan berkenaan bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 8.00 pagi tadi, dengan Lundu merekodkan penurunan paling ketara daripada 346 kepada 315.
Kuching pula turun daripada 318 kepada 311, Serian daripada 320 kepada 305, Lubok Antu daripada 335 kepada 331, manakala Kanowit berkurang daripada 323 kepada 316.
Samarahan yang mencatatkan bacaan 302 pada 8.00 pagi tadi turut menunjukkan penurunan kepada 284, sekali gus berubah daripada tahap berbahaya kepada sangat tidak sihat.
Sementara itu, Sarikei mencatatkan penurunan daripada 283 kepada 267, Sibu daripada 292 kepada 270, Mukah daripada 241 kepada 221, Bintulu daripada 226 kepada 215 dan Tebedu daripada 279 kepada 261.
Sri Aman pula merekodkan sedikit peningkatan daripada 214 kepada 226, manakala Kapit meningkat daripada 187 kepada 189 dan Limbang daripada 173 kepada 175.
Di kawasan lain, Samalaju mencatatkan bacaan 183 berbanding 196 pada 8.00 pagi tadi, Miri (176 berbanding 181), ILP Miri (179 berbanding 183), Lawas (189 berbanding 182), Bario (147 berbanding 157) dan Betong (195 berbanding 194).
Secara keseluruhan, lima kawasan berada pada tahap berbahaya, manakala tujuh kawasan lagi mencatatkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.
Aktiviti fizikal di luar rumah juga wajar dielakkan di kawasan yang merekodkan bacaan IPU tinggi bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.




