
KUCHING: Lundu dan Tebedu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi mengalami peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam tempoh beberapa hari akan datang susulan kewujudan titik panas di negara jiran, Kalimantan.
Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), berdasarkan pencerapan IPU setakat 8.00 pagi hari ini, Lundu mencatatkan IPU 125 yang berada dalam kategori tidak sihat, manakala Tebedu mencatatkan IPU 69 dalam kategori sederhana.
NREB menjelaskan, pemantauan kualiti udara dijalankan melalui stesen-stesen pemantauan di sepanjang sempadan Sarawak dengan Kalimantan, selain meneliti data titik panas menerusi laman sesawang Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura.
Ramalan pergerakan jerebu juga dibantu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui model HYSPLIT yang menunjukkan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam. Analisis bertarikh 21 Julai 2025 menunjukkan trajektori asap dari negara jiran dijangka memberi kesan jerebu impak sederhana khususnya di kawasan barat Sarawak.
Langkah-langkah pencegahan turut dilaksanakan termasuk rondaan fizikal dan penggunaan dron di kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut, pertanian, semak samun dan tapak pelupusan sampah. Statistik menunjukkan hanya 62 titik panas dikesan di Sarawak antara 18 hingga 24 Julai, berbanding 448 titik panas di Kalimantan dalam tempoh sama.
Kerajaan Sarawak juga menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Kalimantan Barat menerusi Persidangan Sosek-Malindo ke-37 pada November 2024 untuk menangani isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan secara bersama, termasuk melalui rondaan dan latihan bersama.
Sekiranya berlaku kemerosotan mendadak kualiti udara, NREB akan menyelaras maklumat IPU bersama agensi berkaitan untuk disebarkan melalui media rasmi, dan data itu akan digunakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) bagi sebarang keputusan seperti penutupan sekolah.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan diminta segera melaporkan sebarang kejadian kepada pejabat NREB berdekatan atau menghubungi talian hotline 082-447488 atau 082-319500.