Jerebu kian memburuk, Lubok Antu cecah IPU 229

Facebook
WhatsApp
LUBOK Antu mencatat IPU tertinggi 229, diikuti Sri Aman 221, masing-masing pada tahap sangat tidak sihat setakat 8.00 malam ini.

KUCHING: Keadaan jerebu di beberapa kawasan di Sarawak menunjukkan kemerosotan apabila Lubok Antu terus merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi, mencecah 229 setakat 8.00 malam ini.

Bacaan itu meningkat berbanding 225 pada 4.00 petang, sekali gus mengekalkan Lubok Antu pada tahap sangat tidak sihat.

Sri Aman turut berada pada tahap sama dengan bacaan IPU 221, meningkat daripada 215 yang direkodkan empat jam sebelumnya.

Sementara itu, lapan kawasan berada pada tahap tidak sihat dengan Lundu mencatat bacaan 187, diikuti IPD Serian (184), Sarikei (169), Samarahan (167), Kuching (165), Sibu (155), Bintulu (152) dan Tebedu (150).

Lapan kawasan lain pula mencatat tahap sederhana iaitu Mukah dan Samalaju masing-masing 99, Miri (95), Kapit dan Lawas masing-masing (86), ILP Miri (81), Bario (80) serta Limbang (66).

Secara keseluruhan, dua kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat, lapan kawasan tidak sihat dan lapan lagi pada tahap sederhana.

Berdasarkan kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.