Jerebu: IPU Serian lepasi 400, JPBN siap sedia tindakan lanjut

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar pernyataan JPBN.

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian melepasi paras 400 setakat tengah hari tadi, ketika keadaan jerebu semakin memburuk di beberapa kawasan di Sarawak.

Berdasarkan bacaan terkini Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Serian merekodkan IPU 412, manakala Samarahan (332), Kuching (304) dan Tebedu (302) turut berada pada paras tinggi.

Situasi itu berlaku ketika Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat keadaan jerebu serta bersiap sedia melaksanakan langkah sewajarnya secara berperingkat bersama agensi berkaitan.

Menurut JPBN, apabila bacaan IPU menghampiri tahap kritikal 400 dan 500, tindakan akan diselaraskan bersama agensi berkaitan dengan berpandukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan.

Sekiranya bacaan IPU melebihi 500, garis panduan sedia ada memperuntukkan penutupan pejabat dan tempat kerja kerajaan serta swasta, kecuali perkhidmatan perlu, sementara menunggu pengisytiharan Darurat Bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Dalam pada itu, keputusan untuk meneruskan, menangguhkan atau membatalkan acara, program dan aktiviti rasmi, persendirian atau anjuran komuniti masih terletak pada budi bicara penganjur masing-masing, melainkan arahan khusus dikeluarkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, penganjur dan orang ramai digesa mempertimbangkan keadaan jerebu serta risiko kesihatan sebelum meneruskan atau menyertai sebarang aktiviti, khususnya aktiviti luar.

Bagi bacaan IPU melebihi 200, penganjur disaran mempertimbangkan semula aktiviti fizikal luar, sukan dan senaman berat, terutama yang melibatkan kanak-kanak, warga emas dan golongan rentan.

Orang ramai turut dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, berada di dalam rumah sebanyak mungkin ketika jerebu teruk dan menggunakan pelitup muka N95 jika perlu berada di luar.

JPBN turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau aktiviti yang menghasilkan asap kerana boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara.

Orang ramai disaran merujuk bacaan IPU rasmi serta pengumuman daripada NREB, Jabatan Alam Sekitar (JAS), JPBN dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak disahkan.

JPBN berkata, pemantauan akan diteruskan dan langkah yang diperlukan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keadaan semasa.