Jerebu: IPU Serian cecah 425, Lubok Antu melonjak ke 276

Facebook
WhatsApp
DATA pemantauan kualiti udara menunjukkan IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi di Sarawak iaitu 425 setakat 2.00 petang ini, meningkat daripada 412 pada 12.00 tengah hari.

KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak terus memburuk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian meningkat kepada 425 setakat 2.00 petang ini, berbanding 412 pada 12.00 tengah hari.

Berdasarkan data pemantauan kualiti udara, tiga lagi kawasan turut merekodkan bacaan pada tahap merbahaya iaitu Samarahan dengan 336, Kuching (313) dan Tebedu (310).

Sementara itu, bacaan IPU di Lubok Antu menunjukkan peningkatan paling ketara dalam tempoh dua jam apabila melonjak daripada 243 kepada 276, iaitu peningkatan sebanyak 33 mata, dan kini berada pada tahap sangat tidak sihat.

Sri Aman turut merekodkan peningkatan daripada 228 kepada 241, manakala Lundu mencatat sedikit penurunan daripada 236 kepada 233, dengan ketiga-tiganya kekal dalam kategori sangat tidak sihat.

Bagi kawasan yang berada pada tahap tidak sihat, Sarikei mencatat bacaan 199, Sibu (191), Bintulu (184), Mukah (181), Samalaju (175), Kapit (161), Miri (160), ILP Miri (158), Limbang (107), Lawas (120) dan Bario (119).

Limbang turut menunjukkan perubahan status apabila bacaan IPU meningkat daripada 97 pada 12.00 tengah hari kepada 107, sekali gus berubah daripada kategori sederhana kepada tidak sihat.

Secara keseluruhan, kebanyakan kawasan di Sarawak menunjukkan peningkatan bacaan IPU dalam tempoh dua jam, dengan empat kawasan kini merekodkan tahap merbahaya, tiga kawasan sangat tidak sihat dan 12 kawasan tidak sihat.

Bacaan IPU antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap merbahaya.

Oleh Adele Rissa