KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Samarahan merekodkan bacaan 180, diikuti IPD Serian (179) dan Kuching (176), antara yang tertinggi di Sarawak setakat 12.00 tengah hari ini.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), sebanyak sembilan kawasan terus merekodkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat.
Selain tiga kawasan utama berkenaan, kawasan lain yang berada pada tahap tidak sihat ialah Tebedu (174), Sri Aman (161), Sarikei (158), Mukah (153), Sibu (152) dan Lundu (111).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategori sebagai tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.
Sementara itu, sembilan kawasan lagi merekodkan bacaan pada tahap Sederhana (51–100) iaitu Bintulu (93), Lubok Antu (91), Miri (89), Samalaju (83), ILP Miri (71), Kapit (67), Lawas (67), Limbang (65) dan Bario (53).
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di kebanyakan kawasan.
Keadaan jerebu dijangka terus memerlukan perhatian berikutan beberapa kawasan masih mencatatkan bacaan tinggi yang menghampiri paras 200, terutamanya Samarahan, IPD Serian dan Kuching.
Oleh Afiq Sallehi




