Jerebu: DBKU seru warga Kuching tingkatkan kewaspadaan

Facebook
WhatsApp
DATUK Bandar Kuching Utara, Dato Haji Hilmy Haji Othman ketika ditemui pemberita berhubung keadaan jerebu di Kuching, hari ini.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyeru warga kota meningkatkan kewaspadaan dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang semakin ketara melanda Kuching ketika ini.

Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Haji Hilmy Haji Othman berkata, keadaan jerebu yang berlaku turut dipengaruhi faktor rentas sempadan susulan pergerakan asap dari kawasan berhampiran yang dibawa masuk ke Sarawak oleh corak tiupan angin semasa.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, sebanyak 19 kawasan di Sarawak dikenal pasti berpotensi terjejas akibat jerebu rentas sempadan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

“Setakat 7.00 malam hari ini, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi direkodkan di IPD Serian dengan bacaan 169, diikuti Samarahan (155), Bintulu (154) dan Kuching (152).

“Kesemua kawasan berkenaan berada dalam kategori Tidak Sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, DBKU menasihatkan orang ramai, khususnya warga kota, supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara berada pada tahap kurang baik.

Hilmy turut menggesa orang ramai sentiasa peka terhadap keadaan semasa, menjaga kesihatan diri dan keluarga serta mengambil langkah bersesuaian berdasarkan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa.

“Dalam keadaan cuaca dan kualiti udara yang kurang baik ketika ini, elakkan pembakaran terbuka, laporkan sebarang aktiviti pembakaran yang mencurigakan kepada pihak berkuasa dan sentiasa prihatin terhadap keadaan sekeliling.

“Kita mahu memastikan Kuching kekal sebagai bandar yang bersih, selamat dan selesa untuk didiami,” katanya.

Warga kota turut dinasihatkan supaya terus mengikuti perkembangan serta nasihat daripada pihak berkuasa dan mengambil tindakan bersesuaian berdasarkan keadaan kualiti udara semasa.

Oleh Afiq Sallehi