Jerebu: Aktiviti luar sempena cuti sekolah dihadkan, percutian keluarga ditangguh

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai merakamkan gambar berlatarbelakangkan pemandangan berjerebu di atas Jambatan Darul Hana berhampiran Tebingan Sungai Kuching ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

KUCHING: Keadaan jerebu yang semakin teruk di Sarawak sejak semalam menyebabkan sebahagian keluarga memilih untuk mengehadkan aktiviti luar dan meluangkan lebih banyak masa di rumah bagi menjaga kesihatan.

Tinjauan Bernama di sekitar bandar raya berkenaan mendapati suasana di beberapa lokasi tumpuan pelancong agak lengang berbanding kebiasaan berikutan keadaan jerebu yang semakin memburuk, dengan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah.

Seorang kerani syarikat swasta Crisdazender Ganchi, 38, berkata beliau mengambil langkah untuk kekal di rumah sepanjang cuti sekolah selepas ketiga-tiga anaknya mengalami asma dan sangat sensitif terhadap keadaan udara yang tercemar.

PEMANDANGAN berjerebu dirakam berhampiran Tebingan Sungai Kuching. Foto Bernama

Beliau berkata pengalaman seorang daripada anaknya yang pernah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru turut menyebabkan beliau lebih berhati-hati terhadap kesihatan mereka.

“Cuti sekolah kali ini dimanfaatkan dengan meluangkan masa bersama anak-anak di rumah serta mengehadkan aktiviti luar. Saya mahu memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat dan tidak terdedah kepada jerebu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, penjawat awam Ronnie Macson, 39, berkata keluarganya terpaksa menangguhkan rancangan untuk bercuti ke Damai selepas keadaan jerebu bertambah buruk.

“Kami memang sudah merancang untuk bercuti di pantai bersama keluarga tetapi apabila jerebu semakin teruk sejak semalam, kami mengambil keputusan untuk menangguhkannya dahulu,” katanya.

PASUKAN pendayung perahu regata berlatih berhampiran Tebingan Sungai Kuching yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 299 iaitu sangat tidak sihat setakat 11.00 pagi tadi. Foto Bernama

Pensyarah universiti swasta Emilda Richie, 42, berkata keluarganya hanya keluar rumah untuk urusan penting seperti membeli barangan keperluan di pasar raya dan pulang segera.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), tiga stesen di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya setakat 12.30 tengah hari ini, iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Serian dengan bacaan 412, diikuti Samarahan (332) dan Kuching (304).

PENGUSAHA perahu tambang menunggu pelanggan berhampiran Tebingan Sungai Kuching yang berjerebu ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama

Selain itu, Sri Aman merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu 228.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.- BERNAMA