Jerebu: 12,888 titik panas di Kalimantan, risiko rentas sempadan Sarawak berterusan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN jerebu di Sarawak dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang susulan peningkatan titik panas dan pergerakan asap rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia.

KUCHING: Risiko jerebu rentas sempadan di Sarawak dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang susulan 12,888 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia sepanjang 1 hingga semalam (29 Ogos).

Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), sebanyak 185 titik panas turut dikesan di Sarawak dalam tempoh sama berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

Keadaan itu dijangka berterusan susulan cuaca kering, manakala peningkatan keadaan El Niño dalam beberapa bulan akan datang berpotensi memburukkan lagi titik panas dan jerebu asap di rantau ASEAN Selatan.

ASMC telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi rantau ASEAN Selatan pada 26 Ogos lalu berikutan keadaan titik panas dan jerebu yang semakin buruk.

Menurut NREB, Sarawak turut berdepan risiko jerebu berterusan susulan tiupan angin barat daya dalam tempoh Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir September ini, terutama sekiranya pembakaran biojisim meningkat di luar sempadan negeri.

Setakat 12.00 tengah hari hari ini, empat kawasan Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap Berbahaya iaitu IPD Serian (412), Samarahan (332), Kuching (304) dan Tebedu (302).

NREB menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar yang lasak, minum air secukupnya dan menggunakan pelitup muka ketika berada di luar, terutama golongan berisiko tinggi.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang kejadian kepada NREB melalui talian 082-447488 atau 082-319500.