
Ba’kelalan-Lawas: Pustaka Negeri Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai agen perubahan komuniti dengan menganjurkan Jerayawara Sarawak Lestari 2025 selama dua hari di Kampung Buduk Nur, Ba’kelalan, yang berakhir pada Sabtu lalu.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak, Wan Mazli Wan Razali.
Beliau berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif advokasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang dilaksanakan selaras dengan mandat kerajaan Sarawak.
Sepanjang jerayawara, pelbagai pengisian diadakan termasuk sesi literasi maklumat, bengkel komuniti, perlumbaan eksplorasi komuniti lestari, ceramah, pertandingan, pameran jabatan dan agensi, pemeriksaan kesihatan serta aktiviti interaktif melibatkan semua lapisan masyarakat.
Pendekatan inklusif ini bertujuan membantu komuniti memahami peranan mereka dalam memastikan pembangunan seimbang dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.
“Kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Lawas, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Buduk Nur, Majlis Daerah Lawas, Pejabat Kesihatan Daerah Lawas, NREB, Universiti Malaysia Sabah serta MARA Daerah Limbang dan Lawas telah memastikan kelancaran penganjuran serta pencapaian objektif program ini,” katanya.
Beliau menambah, Jerayawara Sarawak Lestari 2025 di Ba’kelalan diharapkan menjadi contoh amalan terbaik dalam memperkasa komuniti luar bandar agar lebih celik maklumat, proaktif dan komited terhadap agenda pembangunan mampan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pustaka Negeri Sarawak, Miri di talian 085-422 525 atau melayari laman web rasmi serta platform media sosial Pustaka Negeri Sarawak.
Oleh Adeng Edrus