JERAYAWARA Pro-DR atau Roadshow Project of Dreams Realized Siri Ke-6 Tahun 2020 mendapat sambutan luarbiasa daripada para pelajar dari empat buah sekolah menengah di bahagian Sarikei pada 4 Mac lalu.
Empat buah sekolah menengah di bahagian Sarikei yang menghantar pelajar-pelajar mereka untuk menyertai jelajah pendidikan dan kerjaya ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei, SMK St Anthony, SMK Bandar Sarikei dan SMK Julau.
Bahagian Sarikei merupakan destinasi ke-6 yang dijelajah oleh pihak Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) bersama 45 buah institusi pendidikan dan kerjaya.
Jerayawara anjuran Kerajaan Sarawak melalui TEGAS ini telah bermula pada 24 Februari lalu dan berakhir di Lawas pada 18 Mac.
Jerayawara PRO-DR bertujuan menghubungi lepasan sekolah di luar bandar bagi memberi peluang memperoleh maklumat terperinci mengenai peluang latihan dan pendidikan yang terdapat di Sarawak.
Sepanjang jelajah pendidikan dan kerjaya tersebut, pameran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) atau STEM Playground turut dijalankan.
Hadir untuk merasmikan jerayawara PRO-DR untuk bahagian Sarikei ialah Pengerusi TEGAS yang juga merupakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
Menariknya, para pelajar yang hadir di jerayawara ini sangat tertarik dan mencuba sendiri pengalaman bermain dan belajar di STEM Playground yang disediakan.
STEM Playground adalah sebagai satu pendedahan teknologi moden kepada para pelajar khususnya tentang kepentingan pendidikan STEM untuk diri dan masa depan mereka disamping menimbulkan minat mereka dalam bidang tersebut.
Disamping itu, turut dijalankan sepanjang jerayawara ini adalah demonstrasi latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET), ceramah motivasi dan pendidikan, taklimat institusi dan cabutan bertuah.
Datu Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang ketika berucap pada majlis tersebut berkata, dalam pembangunan modal insan, Kerajaan Sarawak telah menyediakan berapa inisiatif yang menyeluruh, dari bidang kemahiran hingga ke bidang keusahawanan.
“Modal insan yang berkemahiran dan berilmu akan menjadikan anak Sarawak berdaya saing dalam bidang kerjaya.
“Untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dalam digital, Kerajaan Sarawak telah membina Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS).
“Centexs telah menyediakan beberapa kursus teknikal dan digital di 4 buah institusi di Kuching, Lundu, dan Lawas. Latihan di institusi ini bukan saja dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, tetapi mempunyai graduan yang mempunyai keboleh-pasaran yang tinggi,” katanya.
Tambahnya, Centexs juga bekerjasama dengan Syarikat Huawei dalam bidang digital.
“Dalam bidang keusahawanan, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Digital Hub di Kuching, Miri, Bintulu, Sarikei, Betong, Mukah dan Kapit.
“Peranan hub digital ini adalah untuk menyediakan ekosistem inovasi digital dan keusahawan dalam kalangan belia,” ujarnya.
Berkenaan dengan pendidikan, Datu Len berkata, dalam usaha menyediakan pendidikan yang berkualiti, Kerajaan Sarawak telah membangunkan sekolah baharu bagi menggantikan bangunan sekolah daif.
“Dengan inisiatif Kerajaan Sarawak, pendidikan anak-anak di luar bandar tidak akan terabai.
“Selain itu, Kerajaan Sarawak juga menekan perihal pentingnya Bahasa Inggeris dikuasai oleh pelajar di Sarawak. Bahasa Inggeris adalah bahasa global bagi keusahawanan, sains, teknologi dan digital.
“Jika Sarawak hendak membangunkan modal insan tempatan yang dinamik dan berdaya saing, anak-anak Sarawak hendaklah fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bukan lagi dianggap sebagai bahasa asing. Sebaliknya bahasa Inggeris hendaklah dianggap sebagai bahasa ekonomi, teknologi dan sains,” tambahnya.
Ujarnya, itulah sebab Kerajaan Sarawak memberikan penekanan untuk mengukuhkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk kalangan belia.
“Dalam bidang STEM ini, TEGAS telah menganjurkan STEM Playground sejak 2016 di Kuching, Sibu dan Miri.
“STEM Playground merupakan platform ‘co-learning’ di mana pelajar dapat belajar bersama di luar bilik darjah terbaik di mana pelajar terdedah kepada bidang STEM secara langsung dan dengan cara yang menarik,” ujarnya.
Turut hadir di majlis perasmian jerayawara pada 4 Mac lalu ialah Ketua Pegawai Operasi TEGAS, Awangku Merali Pengiran Mohamed, Timbalan Residen Sarikei, Abang Porkan Abang Budiman, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung dan Pengurus “Outreach Programmes” TEGAS, Fredick Kevin Buseli.Â
Oleh Earl Anek