
LIMBANG: Jerayawara Project of Dreams Realized (PRO-DR) 2026 yang berlangsung di Limbang semalam kmendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya pelajar sekolah menengah di daerah ini.
Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menerusi perkongsian di laman rasmi memaklumkan bahawa PRO-DR 2026 bertujuan memberi pendedahan mengenai peluang pendidikan dan kerjaya kepada pelajar serta lepasan sekolah.
Menurut TEGAS, penyertaan sepanjang program itu membuktikan usaha membawa maklumat dan peluang secara terus kepada komuniti terus mendapat sambutan positif, sekali gus membantu lebih ramai anak Sarawak membuat keputusan yang lebih yakin mengenai hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka.

PRO-DR 2026 merupakan inisiatif berterusan TEGAS sejajar dengan peranannya dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui promosi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi digital serta keusahawanan sosial dalam kalangan belia di Sarawak.
Inisiatif itu juga menjadi antara komponen penting dalam menyokong agenda ekonomi digital negeri.
Jerayawara sehari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran pendidikan dan kerjaya, sesi sembang santai bersama ikon belia, aktiviti STEM serta pelbagai pengisian interaktif lain.
Selepas siri jelajah di Lawas dan Limbang, PRO-DR 2026 akan meneruskan programnya ke Long Lama.
Oleh Adeng Edrus