Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas 2026 jelajah 73 lokasi, pertama kali dilancar di IPT
  • TEMPATAN

Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas 2026 jelajah 73 lokasi, pertama kali dilancar di IPT

Utusan Sarawak 6 hours ago
SIMBOLIK… Abdul Karim melakukan simbolik pada Majlis Pelancaran Jerawara Bubur Lambuk Saberkas Sarawak 2026 di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS, hari ini.

KUCHING: Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Sarawak 2026 dilancarkan secara rasmi di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS hari ini, sekali gus mencatat sejarah sebagai penganjuran pertama di institusi pengajian tinggi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kelainan itu dibuat berikutan kewujudan Kelab Saberkas di kampus berkenaan, selain usaha memperluas penglibatan belia mahasiswa dalam program kemasyarakatan.

Menurut beliau, sepanjang Ramadan tahun ini, jerayawara berkenaan akan diadakan di 73 lokasi meliputi kampung dan bandar di seluruh Sarawak.

“Selama 21 tahun pelaksanaannya, program ini menjadi wadah mengimarahkan Ramadan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau menegaskan, penganjuran jerayawara bukan hanya tertumpu di kawasan majoriti Islam, malah turut melibatkan penyertaan komuniti bukan Islam sebagai manifestasi keharmonian dan toleransi masyarakat Sarawak.

Mengulas mengenai Saberkas, beliau berkata pertubuhan belia yang ditubuhkan pada 1973 itu kini mempunyai 82 cawangan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan merupakan antara organisasi belia terbesar di negeri ini.

Katanya, lebih 300 program berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lalu melibatkan pembangunan belia, sukan, pendidikan dan aktiviti kesukarelawanan.

RAKAM KENANGAN…bersama warga Kolej Universiti i-CATS, selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Sarawak 2026.

“Saberkas menetapkan 70 peratus barisan jawatankuasa terdiri daripada belia berumur 40 tahun ke bawah, manakala 30 peratus lagi melebihi had umur itu bagi memastikan keseimbangan kepimpinan dan pengalaman,” jelasnya.

Pada majlis sama, Abdul Karim mengumumkan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada Kelab Saberkas i-CATS bagi menyokong penganjuran aktiviti pelajar dan program kemasyarakatan di kampus tersebut.

Beliau turut memaklumkan kementeriannya sentiasa menyokong penglibatan institusi pengajian tinggi dalam bidang seni dan budaya, termasuk membuka peluang penyertaan ke luar negara sebagai persediaan menjelang siapnya Pusat Seni Persembahan Sarawak kelak.

Terdahulu pada sidang media, beliau menzahirkan penghargaan atas sambutan yang diberikan warga i-CATS sempena kunjungan pertamanya ke kampus berkenaan, sambil berharap kerjasama antara pertubuhan belia dan institusi pengajian tinggi terus diperkukuh pada masa hadapan.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Kaunselor Kolej Universiti i-CATS Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi, barisan kepimpinan Saberkas Sarawak, pengurusan i-CATS, ahli-ahli Kelab Saberkas i-CATS serta para pelajar.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah meriahkan suasana di Bazar Ramadan Satok
Next: Sarawak terus perkukuh promosi sempena Tahun Melawat Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.