
TOKYO, Jepun: Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun telah menjalankan satu eksperimen simulasi sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap nahas maut perlanggaran pesawat yang berlaku di landasan Lapangan Terbang Haneda tahun lalu, menurut laporan siasatan interim yang dikeluarkan lembaga itu pada Khamis, lapor Jiji Press.
Eksperimen itu dijalankan pada Mac tahun ini bagi mengesahkan sudut pandangan dari kokpit pesawat yang sedang cuba mendarat.
Dalam kemalangan yang berlaku pada 5.47 petang, 2 Januari 2024, sebuah pesawat Japan Airlines berlanggar dengan sebuah pesawat Pengawal Pantai Jepun (JCG) ketika sedang mendarat.
Laporan interim itu, yang merupakan laporan kedua seumpamanya, menyatakan bahawa lembaga berkenaan menjalankan eksperimen pada waktu malam tanpa cahaya bulan, seperti pada hari kejadian, di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di Wilayah Aichi, tengah Jepun.
Lapangan terbang itu mempunyai struktur yang serupa dengan Haneda tetapi kurang digunakan pada waktu malam. Eksperimen dilakukan dengan meletakkan sebuah pesawat JCG yang serupa dengan pesawat yang terlibat dalam nahas tersebut di atas landasan.
Sebuah pesawat pemeriksaan penerbangan milik kementerian pengangkutan serta sebuah helikopter eksperimen daripada Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun merakam gambar pesawat JCG berkenaan ketika melakukan beberapa siri go-around (pendaratan dibatalkan).
-Bernama