
SANTUBONG: Jepak di Bintulu bakal menjadi lokasi projek perintis pembangunan perumahan khas untuk golongan M40 dengan harga antara RM300,000 hingga RM550,000 bagi mengisi jurang pasaran antara rumah mampu milik dan hartanah berharga tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu dirancang berikutan peningkatan jumlah isi rumah M40 yang kini berdepan kesukaran mendapatkan kediaman pada harga yang sesuai dengan kemampuan pinjaman mereka.
Menurutnya, ketika ini projek kerajaan lebih tertumpu kepada rumah mampu milik bagi B40 dengan harga sekitar RM160,000 manakala rumah di pasaran swasta pula kebanyakannya ditawarkan pada harga mencecah sehingga RM600,000 dan ke atas.
“Sekarang ini M40 berada di tengah-tengah. Kalau turun bawah, mereka tidak layak. Kalau naik atas, terlalu mahal sampai RM600,000. Jadi di mana tempat mereka?
“Sebab itu kita fikir untuk bangunkan rumah antara RM300,000 hingga RM550,000, dalam kemampuan pinjaman berdasarkan gaji mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Santubong, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, Jepak dipilih sebagai projek perintis memandangkan kawasan itu mempunyai potensi pembangunan yang besar serta didorong pertumbuhan ekonomi Bintulu sebagai hab industri dan tenaga utama negeri ini.
“Saya nak cuba dekat Jepak dahulu. Lepas itu kita akan kembangkan ke kawasan lain. Mesti ada dasar jangka panjang supaya semua lapisan masyarakat dapat diliputi secara inklusif,” katanya.
Menurutnya, perancangan tersebut juga mengambil kira aspek konektiviti jalan raya dan sistem pengangkutan awam bagi memastikan kawasan pembangunan baharu berfungsi sebagai bandar satelit atau suburb yang terletak dalam lingkungan 20 minit dari pusat bandar.
Katanya, pembinaan jalan baharu menghubungkan Buntal dan Bako yang dijangka siap hujung tahun ini akan membuka lebih banyak ruang tanah untuk pembangunan perumahan, termasuk potensi tambahan antara 500 hingga 1,000 unit rumah di kawasan berdekatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek berkenaan akan dirancang secara teliti dengan mengambil kira kedudukan kewangan negeri serta keperluan penjajaran subsidi yang sesuai.
“Kita rancang dahulu. Asalkan kewangan mencukupi dan ada penjajaran subsidi yang baik, kita laksanakan secara berperingkat.
“Yang penting kita mesti ada perancangan jangka panjang supaya pembangunan perumahan ini seimbang dan inklusif,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat