KUCHING: Jentera Parti Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada keseluruhannya sentiasa bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak pada bila-bila masa.
Ketua Pergerakan Wanita PBB, Dato’ Sri Fatimah Abdullah memberitahu, jawatankuasa induk dan jawatankuasa-jawatankuasa khusus di peringkat negeri PRN sudah dibentuk dan telah mengadakan beberapa mesyuarat sebelum ini.
“Jawatankuasa-jawatankuasa khusus ini akan mengendalikan pelbagai perkara yang berkaitan pilihan raya seperti logistik, manifesto, sekretariat, lawatan VIP, bilik operasi, dan sebagainya.
“Bilik Gerakan di peringkat cawangan sudah diarah dibuka dan beroperasi. Dengan kemungkinan diadakan juga Pilihan Raya Umum (PRU) serentak, maka telah diarahkan bilik operasi peringkat Parlimen di buka. Bilik Gerakan di peringkat negeri turut sudah diarah bersedia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, bagi persiapan menghadapi PRN, pergerakan wanita digesa untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan apabila mengadakan aktiviti iaitu dalam norma baharu dan cara berkempen yang berlainan akan dipraktikkan.
“Penerangan berkenaan dengan norma baharu dan SOP kempen baharu ini telah dibuat di peringkat negeri dan akar umbi atas inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) selain penerangan berkenaan dengan perundangan pilihan raya sudah diadakan,” ujarnya.
“Kita harus sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dan parlimen bagi memastikan kita memainkan peranan dalam jentera parti dan memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menjadi pilihan rakyat sekali gus membentuk kerajaan negeri dan turut bersama di peringkat persekutuan kelak,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Pergerakan Wanita PBB Sarawak menggesa orang ramai untuk bersama-sama memerangi Covid-19 dan mematuhi SOP yang telah digariskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan jangan mudah terpengaruh dengan khabar angin atau berita yang tidak sahih.
“Fokus kita sekarang adalah untuk membantu kerajaan dalam pengedaran bantuan ‘bakul makanan’ dan barang keperluan semasa kepada rakyat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Begitu juga dengan Skuad Kasih Sayang + (SKS+) yang turut menyalurkan bantuan di kawasan masing-masing. Inisiatif Kerajaan Sarawak seperti EFS, BIB dan KGC juga masih giat dijalankan,” tegasnya.
Fatimah turut mengucapkan tahniah kepada wanita-wanita Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sangat aktif turun padang dalam melaksanakan projek Projek Tranfomasi Luar Bandar (RTP) dan program lain dengan mengikut SOP.
Oleh NUR AIN OTSMAN