
Pemain Liverpool termasuk Mohamed Salah yang gagal menyempurnakan sepakan penalti kelihatan sugul selepas tewas kepada Crystal Palace.
LIVERPOOL: Bos Liverpool, Arne Slot berkata, pasukannya tidak boleh terlalu kerap melepaskan gol jika mahu mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas kepada Crystal Palace menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi Perisai Komuniti, malam tadi.
Pasukan Liverpool yang berwajah baharu selepas berbelanja besar £260 juta (RM1.482 bilion) dalam pasaran perpindahan kelihatan tajam di bahagian serangan di Wembley dengan pemain baharu dibeli, Hugo Ekitike dan Jeremie Frimpong masing-masing menjaringkan gol.
Bagaimanapun, The Reds dua kali gagal mempertahankan kelebihan apabila Palace menyamakan kedudukan menerusi penalti Jean-Philippe Mateta dan jaringan Ismaila Sarr 13 minit sebelum tamat perlawanan, yang berakhir 2-2 sebelum penentuan sepakan penalti.
Mereka tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti itu dengan penjaga gol Palace, Dean Henderson muncul wira yang menyelamatkan dua sepakan penalti.

Musim lalu, Liverpool menewaskan Palace 1-0 di Selhurst Park dan seri 1-1 pada hari terakhir musim di Anfield ketika mereka merangkul kejuaraan EPL dengan baki empat perlawanan.
Slot melihat potensi barisan serangan bertaraf bintang miliknya apabila pemain termahal yang direkrut, Florian Wirtz, melakukan hantaran kepada Ekitike untuk gol pembukaan selepas hanya empat minit.
Namun, seperti corak perlawanan persahabatan pramusim mereka, Liverpool mudah dibolosi menerusi serangan balas.
AC Milan menewaskan skuad Slot 4-2 di Hong Kong, manakala Liverpool menang tipis 3-2 ke atas Athletic Bilbao dalam salah satu daripada dua aksi persahabatan menentang pasukan Basque itu di Anfield pada Isnin.
“Jika anda lihat cara kami menyerang menentang pasukan begitu tersusun, ia mungkin sedikit lebih baik berbanding musim lalu,” kata Slot.
“Kami hanya dapat menjaringkan satu gol menentang Palace musim lalu. Kini kami menjaringkan dua dan mencipta lebih banyak peluang menentang mereka.
“Tetapi, sebaliknya, kami bolos dua gol, seperti yang berlaku menentang Bilbao dan kami turut bolos beberapa lagi gol menentang Milan, jadi itu sesuatu yang perlu kami perbaiki.”
Hanya Arsenal memiliki rekod pertahanan lebih baik daripada Liverpool di EPL musim lalu dan Slot mahu memperbaiki kelemahan pasukannya sebelum memulakan misi mempertahankan kejuaraan menentang Bournemouth di laman sendiri pada awal pagi Sabtu ini.
“Kami mampu mencipta lebih banyak peluang, tetapi pada masa ini kami bolos lebih banyak. Jika mahu bersaing untuk memenangi liga, anda tidak boleh membiarkan peluang sebegini berlaku.
“Kami terlalu banyak dibolosi hari ini untuk memenangi perlawanan.”
Perbelanjaan Liverpool dalam pasaran perpindahan mungkin belum berakhir kerana mereka terus dikaitkan dengan penyerang Newcastle, Alexander Isak.
Namun, Slot menolak dakwaan perbelanjaan besar akan memberi tekanan tambahan kepada pemainnya musim ini.
“Kerana kami adalah Liverpool, tekanan sentiasa ada,” katanya.
“Itu tiada kaitan dengan membawa masuk pemain baharu.” – AFP