RAIHAN OMERA KAUSAR
Daro: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro bersama sayap Wanita dan Pemuda serta 25 rantingnya sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB, Safiee Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro berkata ini bagi menjamin kemenangan mutlak calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Igan.
“Jentera parti terus merapatkan barisannya bagi mempertahanan kemenangan calon GPS Parlimen P207 Igan dengan lebih gemilang,” katanya berucap ketika melancarkan jentera kempen PBB di sini hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Igan adalah Ahmad Johnie Zawawi.
Safiee berkata, ahli parti di setiap peringkat juga perlu bersedia menghadapi PRU15, memperkemaskan jentera parti dan harus meningkatkan semangat bekerja ssbagai satu pasukan serta menyematkan dalam sanubari perjuangan demi Sarawakku Sayang.
“Semua mesti membantu bersama usaha kerajaam GPS mempertahankan hak Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kemenangan besar GPS pada PRU-15 kali ini amat penting demi kestabilan politik negara serta kekuatan suara dan perjuangan Sarawak di Dewan Rakyat,” katanya.
Katanya, prestasi PBB Cawangan N43 Daro yang cemerlang dan sebagai kubu kuat GPS bukan sahaja perlu dipertahankan, malah terus dipertingkatkan.
Pada majlis sama, ahli-ahli parti diberi penerangan mengenai isu-isu semasa bagi menyiapkan ahli parti tersebut untuk menangkis dakyah pembangkang.
Setakat ini telah diumumkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dari Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di Parlimen P207 Igan.