SIBU: Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), mendiang Sarjan Simon Laja yang maut dalam fenomena kepala air di Ulu Baram pada 3 Disember lalu.
Jenazah mendiang Simon, 47, dari Batalion PGA ke-12 di Miri, selamat disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di sini pada 11.45 pagi, semalam.
Upacara pengembumian dijalankan dengan penuh istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM), dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Mancha Ata dan Ketua Polis Daerah, Sibu Asisten Komisioner Polis (ACP) Stanley Jonathan Ringgit.
Semasa kejadian sekitar 6.00 petang, mendiang Simon bersama seorang anggota polis bantuan yang hanya dikenali sebagai Kemian, 50, terbunuh selepas dihanyutkan oleh ‘kepala air’ semasa rondaan rutin di kawasan Saluran Saluran Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Sungai Melana, Long Kerangan di Ulu Baram.
Turut menyertai rondaan itu termasuk tiga pekerja Samling Timber Sdn. Bhd.
Aidi Ismail dalam satu kenyataan pada 5 Disember lalu memberitahu, semua mereka berjalan di sungai cetek sebelum tiba-tiba dihanyutkan oleh arus deras.
“Lima dari mereka berjaya menyelamatkan diri kecuali Simon dan Kemian yang didapati hilang selepas itu,” katanya.
Mayat mereka kemudian ditemui satu kilometer pada 4 Disember lalu di Sungai Layun berhampiran timbunan balak di sungai.
Mayat Simon ditemui pada 2.00 petang, sementara mayat Kemian ditemui pada 2.30 petang.
Simon yang berasal dari Sungai Berangan, Sarikei meninggalkan isterinya, Ensunie Ungat, 45, dan lima anak berusia lima hingga 24 tahun.
Oleh AKUN GIMAN