PETRA JAYA: Suasana pilu menyelubungi pengebumian mangsa insiden pembunuhan, Allahyarhamah Nurul Asikin Lan, 28, di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, hari ini.
Jenazah Nurul Asikin, selamat dikebumikan pada 1.00 tengah hari tadi dan disaksikan kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan.
Jenazah wanita berusia 28 tahun itu tiba di Kompleks Raudhatul Sakinah, Tanah Perkuburan Islam Semariang pada 12.30 tengah hari. dan disolatkan di surau kompleks tersebut sebelum masuk solat Zohor.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, semalam, mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Tabuan Jaya, Ahad lalu milik Nurul Asikin Lan.
Menurutnya, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Nurul Asikin yang juga dikenali sebagai Amoy dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu selepas keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya.
Lelaki berusia 20-an iaitu suspek utama yang ditahan pada Sabtu membawa polis ke lokasi itu dan menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang.
Sementara itu, tempoh reman suspek utama pembunuhan Nurul Asikin itu akan tamat pada 22 Disember ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek mengaku terdesak memerlukan wang untuk menyaksikan saingan Malaysia-Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Kemboja sebagai motif pembunuhan.
Katanya, suspek mengaku mengambil barang kemas yang digunakan oleh mangsa iaitu gelang tangan emas dan anting-anting emas untuk digadai.
“Barangan kemas itu digadai sebagai perbelanjaan suspek yang ingin menyaksikan perlawanan Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, 8 Disember lalu,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal