
Jemaah haji melakukan ibadah melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah di Mina. Foto BERNAMA
MINA: Jemaah haji melaksanakan ibadah melontar pada Jumaat ketika sebahagian umat Islam di seluruh dunia menyambut permulaan sambutan Aidiladha.
Bermula pada waktu subuh, lebih 1.6 juta umat Islam yang mengerjakan haji akan melontar tujuh batu ke arah setiap satu daripada tiga tembok konkrit di lembah Mina yang terletak pinggir kota suci Makkah.
Ritual itu bagi memperingati tindakan Nabi Ibrahim yang melontar syaitan di tiga tempat yang dikatakan syaitan cuba menghasut baginda supaya tidak mematuhi perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya.
Ibadah haji pada tahun ini menyaksikan pihak berkuasa melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan haba serta tindakan tegas terhadap jemaah menunaikan haji secara haram.
Tindakan itu menyebabkan jumlah jemaah kelihatan lebih sedikit dan kehadiran kawalan keselamatan ketat di kawasan suci di Makkah serta sekitarnya.
Langkah-langkah itu bertujuan mengelakkan kejadian maut seperti musim haji pada tahun lalu yang menyaksikan 1,301 orang terkorban dalam suhu yang mencecah 51.8 darjah selsius.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, majoriti kematian itu membabitkan jemaah yang masuk ke Makkah secara haram.
Mereka tidak mempunyai akses kepada penginapan serta perkhidmatan lain yang disediakan bagi memastikan keselamatan serta perlindungan jemaah daripada panas terik padang pasir.
Ibadah melontar di Mina pernah menjadi lokasi tragedi rempuhan maut pada 2015 yang mengorbankan 2,300 nyawa sekali gus menjadi salah satu bencana haji paling dahsyat dalam sejarah. – AFP