
MAKKAH: Sebanyak 31,600 jemaah Malaysia dalam kalangan 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan haji tahun ini mula bergerak ke Arafah secara berperingkat sejak 7.30 pagi ini bagi menunaikan ibadah wukuf esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pergerakan jemaah ke kawasan masyair (fasa kemuncak ibadat haji) berjalan lancar dan dijangka selesai sepenuhnya hari ini.
“Alhamdulillah, sampailah masanya hari yang bersejarah apabila bermulanya jemaah haji Malaysia, duyufurrahman, bergerak ke masyair.
“Kita bermula dari 7.30 pagi dan insya-Allah akan sempurnakan semuanya hari ini. Mereka akan memulakan wukuf bermula esok,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelepasan jemaah haji ke Arafah di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 25 bas disediakan bagi setiap maktab untuk membawa semua jemaah di tujuh hotel penginapan secara tiga peringkat menuju ke Arafah yang terletak sekitar 20 kilometer dari Makkah.
Zulkifli berkata, pergerakan jemaah haji Malaysia ke Padang Arafah membabitkan tiga pusingan utama menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.
“Tiga pusingan pergerakan jemaah bagi setiap maktab melibatkan trip pertama bermula pada 7.30 pagi,” katanya.
Zulkifli turut menasihatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca panas terutama pada waktu tengah hari.
“Kita nasihat supaya terus fokus. Cuaca panas, jangan keluar pada waktu tengah hari. Kita tidak mahu ada yang tergugat kesihatannya. Kita mahu pastikan jemaah fokus kepada ibadah dan mengikuti segala bimbingan daripada maktab serta khemah yang disediakan,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menetapkan hari wukuf 9 Zulhijah jatuh pada esok, manakala Rabu sebagai hari pertama Aidiladha di negara itu. – Bernama