Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Jemaah haji diminta jaga tanda pengenalan diri semasa di Tanah Suci
  • NASIONAL

Jemaah haji diminta jaga tanda pengenalan diri semasa di Tanah Suci

Utusan Sarawak 12 months ago
JEMAAH haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat dikenali dan dibantu jika berlaku sebarang kejadian luar jangka. Gambar Fail BERNAMA

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat dikenali dan dibantu jika berlaku sebarang kejadian luar jangka. 

Pengurus Khidmat Pelanggan TH di Makkah, Mohamad Zakee Mohd Zaludin berkata setakat 9 Mei lepas, daripada 71 aduan diterima daripada jemaah, 87 peratus berjaya diselesaikan dengan kebanyakannya tentang kehilangan tanda pengenalan diri seperti lanyard dan gelang haji. 

“Kita nasihatkan semua jemaah haji kita untuk menjaga seelok-eloknya dan sebaik mungkin tanda pengenalan masing-masing seperti lanyard, lencana dan juga gelang haji agar tidak kehilangan sebab di Tanah Suci itulah tanda pengenalan kita menggantikan kad pengenalan dan dokumen penting di tanah air,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini. 

Selain kehilangan lanyard, katanya, aduan yang diterima setakat ini hanya melibatkan hal-hal kecil yang berkisar tentang masalah di tempat  penginapan seperti kerosakan penghawa dingin dan sebagainya. 

Namun biar apapun jua masalah diajukan oleh jemaah, Mohd Zakee memberi jaminan Bahagian Khidmat Pelanggan akan berusaha untuk menanganinya dalam tempoh 24 hingga 72 jam bergantung kepada permasalahan yang dikemukakan. 

Pada masa sama, katanya, seperti musim haji sebelum ini, Pasukan Peronda TH akan bertugas 24 jam dilapan tempat pemeriksaan atau lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji Malaysia, terutama dari segi pandu arah demi memastikan keselamatan mereka.

Antara kawasan terlibat adalah dua kawasan di sekitar Marwah, sekitar pintu Assalam, dataran Safwah,  kawasan dataran laluan ke Misfalah dan berhadapan pintu King Abdullah. 

Beliau berkata kebanyakan kes jemaah tersasar adalah melibatkan mereka yang kali pertama tiba Tanah Suci dan belum pernah menunaikan umrah terutama dalam kalangan warga emas. 

“Jadi sebab itu kita tempatkan Pasukan Peronda TH di lapan kawasan utama di sekitar Masjidil Haram untuk lihat pergerakan mereka dan memantau pergerakan mereka. Contohya, bagi jemaah yang menunaikan umrah pertama memang kita akan lihat dan pantau perjalanan mereka dari satu tempat pemeriksaan ke tempat pemeriksaan lain. 

“Jika ada jemaah lambat pulang kita akan maklumkan dalam kumpulan,” katanya sambil memaklumkan setiap aduan dan maklumat kehilangan jemaah haji boleh diajukan di talian Hotline 012-5704433. 

Sementara itu, sistem pemakaian lanyard yang berbeza-beza mengikut warna dalam kalangan jemaah haji Malaysia mengikut maktab penginapan yang diperkenalkan sejak 2017 diteruskan bagi melancarkan operasi musim haji 1445H/2024.

Pengarah Operasi Maktab, Ibu Pejabat TH di Makkah Khairoddin Ahmad berkata, lanyard pertama yang mempunyai empat warna adalah pengenalan zon penginapan untuk  jemaah haji melakukan umrah pertama semasa tiba di Makkah dan ia bagi memudahkan unit peronda TH di Masjidil Haram mengenal pasti hotel penginapan jemaah berkenaan jika mereka tersasar daripada kumpulan. 

“Sementara itu, satu lagi lanyard mempunyai lapan warna yang harus dipakai setiap masa kerana ia merupakan tanda pengenalan kepada maktab jemaah terbabit sama ada Maktab 77, Maktab 78, dan sebagainya,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Khairoddin memaklumkan dalam hal pemilihan hotel penginapan untuk jemaah haji, TH sentiasa mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk jarak dengan masjid serta kemudahan untuk jemaah orang kelainan upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang mengerjakan ibadah haji. 

“Bagi jemaah OKU atau berkerusi roda, kita akan cuba letakan mereka dalam tingkat yang rendah, jika ada kekosongan selain bilik yang dekat dengan lif. Pemilihan bangunan penginapan telah melalui penilaian yang ketat, ini termasuk kemudahan untuk OKU,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Sistem e-Jamin diteruskan
Next: Bayi lelaki berusia seminggu ditemukan di kedai jual ayam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.