Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Jemaah banjiri Gunung Arafah, untuk kemuncak ibadah haji
  • GLOBAL

Jemaah banjiri Gunung Arafah, untuk kemuncak ibadah haji

Utusan Sarawak 2 days ago

Gunung Arafah dibanjiri jemaah haji yang sedang menjalani kemuncak ibadah haji atau masyair.

ARAFAH: Gunung Arafah dibanjiri jemaah haji yang sedang menjalani kemuncak ibadah haji atau masyair, walaupun terpaksa berdepan cabaran cuaca panas terik dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius pada musim ini.

Malah, ribuan jemaah haji sudah mula berkumpul di sekitar kawasan gunung itu sebelum subuh lagi, dan kebanyakan jemaah lazimnya akan menghabiskan masa berjam-jam untuk melakukan ibadah, termasuk membaca al-Quran, berzikir serta berdoa hingga lewat petang sepanjang berwukuf hari ini sebelum bergerak ke Muzdalifah.

“Sebelum ini, saya sering menonton siaran kemuncak ibadah haji yang ke udara menerusi televisyen setiap tahun, dan sentiasa berfikir: ‘Semoga saya dapat berada di sini…’ Saya amat bersyukur impian saya itu akhirnya tercapai,” kata Ali, 33, dari Pakistan – seorang daripada 1.5 juta jemaah haji tahun ini – sambil merenung ke arah Gunung Arafah.

Jemaah wanita, Iman Abdel Khaleq berumur 50-an pula tidak dapat menahan air mata kegembiraan dan kesyukuran selepas impiannya sejak 10 tahun lalu untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci berjaya tercapai.

“Ini adalah satu impian yang amat besar bagi saya,” katanya dalam nada begitu terharu kepada AFP ketika ditemui di kaki Gunung Arafah.

Pada awal minggu ini, pihak berkuasa Arab Saudi menasihati jemaah haji supaya berada di dalam khemah masing-masing antara jam 10 pagi hingga 4 petang, hari ini, ketika pancaran matahari dijangka paling terik pada waktu itu.

Bagaimanapun, kipas dengan semburan air kabus dan membantu menyejukkan udara, telah ditempatkan di kaki gunung berkenaan.

Musim haji tahun ini menyaksikan jemaah berdepan cabaran suhu tinggi melangkaui 40 darjah Celsius, dengan pegawai-pegawai mempertingkat usaha mengurangkan haba bagi mencegah berulangnya insiden pada musim haji tahun lalu di mana seramai 1,301 jemaah meninggal dunia dalam keadaan suhu cuaca panas mencecah 51.8 darjah Celsius.

“Saya datang awal pagi sebelum matahari terik, dan kemudian akan meneruskan ibadah di dalam khemah pula,” kata jemaah haji dari Syria, Adel Ismail, 54.

Sebagai langkah meningkatkan keselamatan pada musim haji ini, pihak berkuasa telah memperkembangkan pelbagai infrastruktur, mengerah ribuan petugas tambahan, serta menggunakan peralatan berteknologi tinggi bagi membantu menguruskan lautan jemaah dengan lebih baik.

Pihak berkuasa antara lain menggerakkan lebih 40 agensi kerajaan dan 250,000 pegawai, bagi menggandakan usaha mereka menangani masalah kesihatan berkaitan haba susulan gelombang haba yang meragut nyawa pada tahun lalu.

Usaha dilakukan termasuk kawasan berteduh diperluaskan sebanyak 50,000 meter persegi, ribuan lagi petugas perubatan bersiap siaga, dan lebih 400 unit penyejuk digunakan, kata Menteri Haji kepada AFP.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia pada musim haji tahun lalu adalah jemaah tidak berdaftar yang tiada akses kepada kemudahan seperti bas dan khemah dilengkapi pendingin hawa.- AFP

Continue Reading

Previous: Trump umum larangan perjalanan baharu ke atas 12 negara
Next: China kekal keahlian ECOSOC untuk penggal baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.