
BINTULU: Program Jelajah Sarawakku Sayang 2026 akan berlangsung di Lasar Kenyalang, Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu bermula esok hingga 24 Mei ini dengan pelbagai pengisian menarik yang sesuai untuk seisi keluarga.
Sepanjang penganjuran selama tiga hari itu, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan di reruai agensi terlibat, selain menyaksikan pameran berkaitan pembangunan, budaya dan pelancongan Sarawak.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan di pentas utama setiap malam yang menampilkan artis tempatan dan nasional, sekali gus menjadi antara tarikan utama serta tumpuan pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

Pelbagai aktiviti komuniti turut disediakan bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, antaranya pertandingan memasak, pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan tradisional, aktiviti santai keluarga serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bertuah.
Selain itu, ruang usahawan tempatan turut dibuka bagi memberi peluang kepada peniaga mempromosikan produk masing-masing merangkumi makanan, minuman, pakaian, aksesori serta pelbagai produk tempatan lain, sekali gus menyokong perkembangan ekonomi setempat.

Pengunjung juga boleh mengunjungi Sarawak Pavilion yang menampilkan keunikan budaya dan warisan pelbagai kaum di negeri ini, termasuk pameran kraftangan serta seni tradisional yang menjadi identiti Sarawak.
Tidak ketinggalan, ruang Bintulu Kitchen menjadi antara tarikan istimewa apabila menawarkan pelbagai hidangan tradisional dan moden yang mencerminkan cita rasa tempatan Bintulu, memberi pengalaman gastronomi kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
Kanak-kanak dan golongan belia juga tidak ketinggalan dengan pelbagai aktiviti santai dan interaktif disediakan, menjadikan acara ini mesra keluarga serta sesuai untuk semua peringkat umur.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Jelajah Sarawakku Sayang 2026 yang dijangka menjadi antara acara tumpuan hujung minggu ini di Bintulu.
Oleh Faizah Muzidi