
BELAGA: Kementerian Digital komited merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan pedalaman bagi memastikan tiada komuniti tercicir dalam arus transformasi teknologi negara.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata program seperti Jelajah Komuniti Digital bukan sekadar acara simbolik sebaliknya menjadi lambang kesungguhan kerajaan menyampaikan peluang serta akses digital kepada setiap anak bangsa tanpa mengira lokasi geografi.
“Program Jelajah Komuniti Digital ini bukan sekadar acara simbolik tapi ia adalah manifestasi serta tekad kerajaan perpaduan untuk merakyatkan agenda pendigitalan negara.
“Ia juga menjadi bukti bahawa kita tidak pernah meminggirkan komuniti di luar bandar seperti di Belaga membina Malaysia sebagai negara digital yang berdaya tahan, saksama dan inklusif.
“Kehadiran saya pada hari ini menjadi lambang kesungguhan kerajaan dalam menyampaikan peluang serta akses digital kepada setiap anak bangsa tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jelajah Komuniti Digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga di sini, hari ini.

Program anjuran Kementerian Digital itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), MYNIC Berhad dan Alibaba Cloud sebagai rakan teknologi utama, selain turut disokong Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan agensi kerajaan lain.
Antara fokus utama adalah pendidikan digital, keselamatan data peribadi, pengurusan identiti digital serta pendedahan awal terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Pendedahan awal kepada teknologi AI amat penting termasuk kepada pelajar di pedalaman Sarawak.
“Oleh sebab itu, Kementerian Digital terus melaksanakan pelbagai program pendidikan digital seperti ini demi memastikan jurang pengetahuan dan akses teknologi dapat dirapatkan,” jelas beliau.
Program itu disertai lebih 300 pelajar dan 40 ketua masyarakat yang berpeluang mengikuti bengkel interaktif, sesi literasi digital serta dialog santai.
Mengulas kerjasama dengan rakan teknologi utama, Ahli Parlimen Hulu Rajang itu berkata, penglibatan sektor swasta amat penting dalam mempercepat agenda digital negara.
“Penyertaan Alibaba Cloud dalam program ini membuktikan bahawa kolaborasi antara sektor awam dan swasta mampu memacu pertumbuhan ekosistem digital negara dengan lebih pantas dan berimpak tinggi.
“Kerjasama ini harus diperkukuh dan diperluas demi manfaat bersama,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih