
SARATOK: Mesyuarat Perbincangan Program Jelajah Perpaduan Kayuhan Sihat Borneo 2025 telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti, Pelancongan dan Keusahawanan Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Kasdi Pandi hari ini.
Program ini bakal menyaksikan aktiviti kayuhan merentasi dua negeri Borneo iaitu dari Kudat, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak.
Ia merupakan satu inisiatif penting yang digerakkan berteraskan tiga agenda utama negara iaitu Agenda Perpaduan dan Integrasi Nasional, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta Semarak Bulan Kemerdekaan 2025.
Menurut Kaunselor Kasdi, mesyuarat kali ini membincangkan aspek persiapan dan penglibatan agensi yang berkaitan dalam menjayakan program yang dijangka mendapat sambutan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sokongan penuh terhadap program ini turut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri yang memuji usaha tersebut sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan semangat perpaduan serta menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.
“Usaha seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan negara dan patriotisme di kalangan masyarakat, malah turut menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang melalui aktiviti yang sihat dan berfaedah,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak Majlis Daerah Saratok, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Persatuan Nadi Sihat atas komitmen tinggi menjayakan program ini.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Saratok McCrea Joseph Pererre, Pegawai Perpaduan Bahagian Betong Thompson Ted, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Putra Illa dan Pegawai Penerangan Daerah Saratok, Florence Sebastian Unting.
Oleh Adi Safarman