Larian Datuk Bandar 2026 sasar penyertaan terbesar, MBKS ajak masyarakat kekal aktif

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA... Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berucap pada sidang media Larian Datuk Bandar 2026 di Bangunan MBKS, Kuching, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus komited menyemarakkan budaya hidup sihat dan memperkukuh semangat komuniti menerusi penganjuran Larian Datuk Bandar 2026 yang akan berlangsung pada 16 Ogos ini, bermula 6.00 pagi.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, program tahunan itu kini menjadi antara acara komuniti utama MBKS yang menghimpunkan ribuan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga, kanak-kanak, warga emas, pelajar dan rakan-rakan.

Menurut beliau, Larian Datuk Bandar 2026 bukan sekadar aktiviti berjalan kaki, malah menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang, di samping memupuk amalan gaya hidup aktif dan sihat.

“Program ini bukan satu pertandingan, sebaliknya memberi peluang kepada orang ramai menikmati keindahan bandar raya, mengeratkan hubungan sesama komuniti serta mengingatkan kita bahawa kekal aktif merupakan antara cara paling mudah untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia,” katanya pada sidang media Larian Datuk Bandar 2026 di Bangunan MBKS, di sini hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran kini dibuka secara percuma menerusi aplikasi iPeople dan setiap peserta yang berjaya mendaftar akan menerima kemeja-T rasmi Larian Datuk Bandar 2026 selagi stok masih ada.

PELANCARAN… Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersama wakil penaja memperagakan kemeja-T rasmi media Larian Datuk Bandar 2026 selepas sidang media pelancaran program itu di Bangunan MBKS, Kuching, hari ini. Foto Norman B

Katanya, pengambilan kemeja-T rasmi Larian Datuk Bandar 2026 akan diadakan pada 14 Ogos dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang dan pada 15 Ogos dari 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Peserta dikehendaki membawa kod bar pendaftaran yang diperoleh menerusi aplikasi iPeople bagi tujuan pengesahan.

Sehubungan itu, Wee menggalakkan orang ramai mendaftar lebih awal serta mengajak ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja menyertai program berkenaan bagi memastikan penganjuran tahun ini menjadi yang terbesar pernah diadakan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama, Ibraco Berhad, selain Chagee, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pepsi atas sokongan berterusan dalam menjayakan Larian Datuk Bandar 2026.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada City Joggers’ Club (CJC) yang terus menjadi rakan strategik MBKS sejak penganjuran Larian Datuk Bandar 2026 yang pertama menerusi khidmat sukarelawan dan marshal bagi memastikan keselamatan serta kelancaran program.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat mengambil peluang menyertai Larian Datuk Bandar 2026  sebagai usaha bersama membina komuniti yang lebih sihat, aktif dan saling berhubung.

Oleh Norman B

AirBorneo disaran sedia Wi-Fi dalam pesawat

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, mempertimbangkan pemasangan