
BINTULU: Projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Medan Jaya dan Jalan Tun Hussein Onn di tengah bandar Bintulu kini mencatat kemajuan sebanyak 54 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun depan, lebih awal daripada tarikh asal iaitu November 2026.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Dr. Cassidy Morris, berkata keyakinan tersebut disandarkan kepada kerjasama erat antara JKR, kontraktor dan perunding, walaupun projek bernilai lebih RM137 juta itu menghadapi cabaran seperti pengalihan utiliti dan kelewatan semasa pandemik COVID-19.
“Kita tidak berpuas hati dengan perkembangan semasa, tetapi dengan tambahan tenaga kerja sehingga 200 orang serta arahan kerja malam, kita yakin projek ini boleh siap menjelang Jun tahun depan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata projek tersebut amat ditunggu-tunggu oleh penduduk setempat memandangkan lokasinya menjadi nadi utama aliran trafik bandar Bintulu.
“Saya gembira apabila JKR memberi jaminan bahawa projek ini dipantau secara rapat termasuk laporan bulanan dengan bantuan dron. Saya berharap jadual baharu ini dapat dipatuhi sepenuhnya,” ujarnya.
Projek jejambat berkenaan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar Bintulu.
Oleh Carolyne Utih