
PETRA JAYA: Program Jejak Inovasi Sosial (JIS) menjadi platform penting dalam mencungkil dan mengembangkan idea inovasi di peringkat akar umbi, sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai isu masyarakat secara lebih mampan dan inklusif.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, inovasi tidak hanya milik saintis atau pakar teknologi, sebaliknya setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi inovator sekiranya mampu mencari penyelesaian kreatif terhadap sesuatu masalah.
“Inovasi bermula dengan kreativiti. Sama ada mempercepatkan proses membuat kek lapis, menambah baik sistem pertanian atau mencari kaedah baharu menangani banjir, semuanya adalah bentuk inovasi sosial yang berakar daripada masalah sebenar komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program JIS Zon Sarawak di Surau Al Amin, Kampung Gita Baru, di sini, hari ini.

Menurut Fadillah, pengalaman beliau ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2015 membuktikan betapa pentingnya pendekatan turun padang bagi mengenal pasti potensi inovasi rakyat.
Katanya, melalui program Jejak Inovasi yang pernah diperkenalkan dahulu, banyak hasil inovasi rakyat berjaya diketengahkan dan ada antaranya dikembangkan sehingga ke peringkat pasaran.
“Masyarakat setempat selalunya lebih memahami keadaan sebenar di lapangan berbanding pakar luar. Sebagai contoh, projek mini hidro yang pernah dilaksanakan di Sabah akhirnya lebih berkesan selepas penduduk kampung sendiri mengubah suai alat mengikut keadaan sungai setempat,” jelasnya.
Fadillah turut menekankan keperluan menggalakkan inovasi dalam menghadapi cabaran semasa termasuk ekonomi hijau, ekonomi digital dan ekonomi kitar semula.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri telah menyediakan universiti serta institusi latihan untuk membina kepakaran. Namun, kejayaan tidak akan tercapai tanpa penglibatan semua pihak termasuk komuniti, belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata, pihaknya telah diberi mandat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak 2022 untuk melaksanakan Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS).
Katanya, matlamat utama MyIS adalah meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui aplikasi teknologi tempatan yang boleh dilaksanakan secara mampan dan inklusif, seiring dengan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 yang dilancarkan tahun lalu.
Menurutnya lagi, pelaksanaan JIS adalah kesinambungan daripada program terdahulu dengan metodologi baharu berkonsepkan 4D (Discover, Develop, Disseminate, Diffuse) yang menekankan pencarian, pembangunan dan pengembangan inovasi sosial komuniti.
“Pendekatan ini disokong program seperti MyIS Komuniti, MyIS Akar Umbi, Cabaran Inovasi Belia (YIC) dan Pemangkin Inovasi (iCATS) yang membantu melahirkan lebih ramai inovator sosial belia,” jelasnya.
Bagi tahun ini, katanya, JIS dilaksanakan di enam zon iaitu Selangor, Melaka, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak dengan tumpuan khusus kepada isu tempatan.
“Di Petra Jaya, antara isu yang dikenal pasti termasuk akses air bersih, pencemaran sungai, kos operasi nelayan, pengangkutan, pengurusan sampah serta teknologi pertanian moden.
“Semua isu ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pakar Bidang Khusus untuk ditentukan bentuk inovasi yang sesuai,” ujarnya.
Dr Sharmila turut merakamkan penghargaan kepada Fadillah atas sokongan beliau terhadap usaha YIM dalam mengangkat agenda inovasi sosial negara.
Dalam pada itu, Fadillah menggesa semua pihak kerajaan, swasta, akademi, belia dan masyarakat terus berganding bahu memperkukuh agenda inovasi sosial negara.
“Dengan kerjasama padu, inovasi sosial mampu menjadi pemacu utama kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud