SEMPENA Hari Polis minggu lepas, wacana kali ini cuba menjejak sejarah pasukan polis di Sarawak pada abad ke-19. Pasukan polis di Sarawak secara rasminya telah wujud pada zaman Brooke.
Kewujudan pasukan polis ini sejajar dengan perkembangan Sarawak ketika itu yang memerlukan pasukan keselamatan bagi tujuan menjaga keamananan dan keselamatan di Sarawak. Kadang-kala penglibatan pasukan ini meluas bukan sahaja tentang kes-kes mencuri, pembunuhan atau penipuan tetapi juga berdepan dengan aktiviti yang mengancam kedaulatan negara.
PENUBUHAN
Persoalan sering berlegar berkenaan sesebuah institusi seperti polis ini adalah bilakah pasukan keselamatan ini ditubuhkan di Sarawak? Jika ditinjau lebih mendalam dalam hal ini, pasukan polis Sarawak telah wujud sejak awal pemerintahan Raja James Brooke.
Dalam satu catatan akhbar menyatakan bahawa pada 1849 bilangan anggota pasukan polis Sarawak hanyalah sedikit.
Dari segi organisasinya juga ringkas, dan dinyatakakan A. C. Crookshank sebagai polis majistret, Joseph atau Peter Middleton sebagai konstabel polis dan Suboo, ketua konstabel bagi anggota polis tempatan. Jumlah anggota polis jika dicampur dengan anggota tentera ketika itu adalah sekitar 30 orang.
Dalam laporan pada 1879, jumlah pasukan polis ini adalah kira-kira 200 orang. Kos perbelanjaan dalam mengurus pasukan polis ini berjumlah $23,100, manakala laporan pada 1890 menyatakan bahawa anggota polis di Kuching berjumlah sekitar 50 orang.
Laporan surat khabar pada 1897 tentang keanggotaan pasukan polis Sarawak agak berbeza. Dalam kenyataan laporan itu menyatakan bahawa pada tahun tersebut, pasukan polis Sarawak terdiri daripada seorang Sarjan Mejar, tiga orang sarjan, dua las sarjan, enam orang koperal, 10 las koperal dan 79 konstabel.
PELBAGAI TUGAS
Dari segi tugas pula anggota polis Sarawak ini melakukan pelbagai tugas yang berkaitan dengan usaha menjaga ketenteraman dan keselamatan termasuk juga menangkap pesalah yang melakukan kesalahan. Salah satu contoh jelas tentang peranan pihak polis ini dalam menjaga keselamatan nyawa dan harta benda boleh dilihat pada kejadian kes kecurian.
Kejadian ini berlaku pada 14 Januari 1882 di salah sebuah rumah di Kampung Melayu, Kuching. Dua orang yang disyaki terlibat dalam kes ini telah ditahan oleh pihak polis untuk tujuan siasatan. Antara cabaran besar bagi pasukan polis dalam soal keamanan ini pada peringkat awal ialah kewujudan kongsi gelap yang menganggu keselamatan di Sarawak. Oleh itu perkara ini menjadi satu tugas besar bagi anggota keselamatan ini untuk memantau dan mengawal kegiatan kongsi gelap ini.
Sehubungan dengan itu, Crookshank dan Middleton pernah menasihatkan Raja James Brooke akan khabar angin berkenaan dengan kemungkinan berlakunya pemberontakan orang Cina dari Bau. Namun Raja James Brooke tidak menghiraukan hal ini. Peringatan kedua-dua pegawai keselamatan beliau ini menjadi kenyataan pada 1857.
Dalam kejadian itu pihak pemberontak menyasarkan rumah kedua-dua pegawai keselamatan ini. Walaupun kedua-dua mereka terselamat tetapi dua orang anak Middleton terbunuh.
Dalam satu sudut yang lain pula pasukan polis ini juga bertindak sebagai pasukan bomba. Hal ini boleh dilihat apabila berjaku kejadian kebakaran gudang milik Borneo Company Limited di Kuching pada 1882. Pesuruhjaya Polis dan Penjara, Q. A. Buck dengan anggota keselamatan lain berjaya mengawal kebakaran daripada merebak.
Pada 1884 apabila berlaku kebakaran besar di Kuching, Pemangku Persuruhjaya Polis dan Penjara, Reginald Awdry mengetuai pasukan polis memadamkan kebakaran tersebut. Di samping itu, keberadaan mereka juga adalah untuk menjaga sebarang usaha pihak tertentu untuk mengambil kesempatan mencuri barang-barang semasa kebakaran.
Selain itu, pihak polis juga menjaga ketenteraman awam daripada tindakan mengancam nyawa manusia seperti kes amuk. Kes amuk pada 1884 di Tondong, Hulu Sungai Sarawak merupakan salah satu kes amuk yang berjaya diatasi oleh pihak polis. Baman yang mengamuk telah mencederakan beberapa orang yang dijumpainya. Dia kemudiannya melarikan diri ke Bau. Namun tindakan pantas anggota keselamatan telah berjaya menangkapnya dan kemudian dihantar ke penjara di Kuching.
Ada juga kes menganggu ketenteraman awam lain berlaku di Sarawak yang mana pihak polis telah berjaya mengatasinya. Kejadian yang berlaku pada 9 Oktober 1889 di Kuching merupakan kes pemabuk yang menimbulkan kekacauan di bandar itu. Pemabuk tersebut telah ditahan dan dijatuhkan hukuman denda oleh Mahkamah Polis.
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG
Apabila Sarawak telah melalui fasa-fasa kemakmuran ekonomi, anggota keselamatan ini juga diberi kuasa dalam masalah-masalah baharu timbul seperti pihak yang melanggar perjanjian kontrak. Pada 1 Mei 1882, mesyuarat Majlis Tertinggi meluluskan usul untuk memberi kuasa kepada anggota keselamatan menangkap sesiapa yang melarikan diri dari kontrak seperti pelayar, buruh dan pemiutang.
Usul ini telah memberi kuasa kepada polis menangkap mereka yang dinyatakan dengan waran atau tanpa waran. Pasukan keselamatan ini juga menguatkuasa undang-undang perdagangan di Sarawak. Kejadian pada 21 April 1885 melibatkan pelanggaran peraturan oleh sebuah tongkang dari Singapura yang memunggah kayu balak di kawasan yang berdekatan dengan Tanjung Datu.
Untuk menyiasat hal ini Poen Sadam bersama-sama dengan anggota polis telah melakukan usaha menahan mereka yang melakukan kesalahan itu. Pasukan polis berjaya menangkap mereka yang bersalah ini dan telah dibicarakan dalam Mahkamah Polis. Pelaku melakukan kesalahan ini telah didenda $100.
Paparan sejarah ringkas ini menunjukkan bahawa pasukan polis di Sarawak pada abad ke-19 ini telah menunjukkan kesungguhan menjalankan tugas mereka walaupun terdapat cabaran besar. Tugas mereka juga pelbagai tetapi mampu menjalankannya dengan baik. Akhir sekali diucapkan Selamat Hari Polis.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).