
KUCHING: JeffDom, penyanyi muda berbakat di bawah XIBO Entertainment, sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran single terbarunya berjudul Bangat Enda Pechaya, sebuah balada pop Iban moden yang mengangkat tema kepercayaan dan kesetiaan dalam percintaan.
Lagu ini sudah ditemui peminat pada 25 Julai, Jumaat lalu. Dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Iban, lagu ini mengetengahkan nuansa melankolik dengan lirik yang jujur dan menyentuh hati.
Ia mengisahkan seorang kekasih yang tetap setia walaupun diragui dan dituduh tanpa bukti. Susunan muzik dan penghasilan lagu ini adalah hasil sentuhan sepenuhnya oleh Hairee Francis, yang turut bertindak sebagai penulis lirik, penerbit dan penggubah lagu.
Sentuhan beliau memperkukuhkan lagi elemen emosi dan ketulusan yang disampaikan oleh JeffDom. Bait-bait lagu sarat dengan penyesalan dan kejujuran, manakala korusnya menyerlahkan suara hati yang bangkit mempertahankan kebenaran.

Walaupun sarat dengan emosi, lagu ini tidak tenggelam dalam kesedihan. Sebaliknya membawa mesej harapan, bahawa cinta sejati masih wujud, cuma memerlukan kepercayaan untuk terus hidup.
Dengan gabungan balada pop dan elemen etnik kotemporari, lagu ini menyerlahkan keunikan muzik Iban dalam landskap pop moden.
Ia menyentuh soal cinta yang tidak berbalas, kerinduan yang mendalam, serta keengganan untuk mengganti cinta sejati yang hanya datang sekali dalam hidup.
Video muzik yang diarahkan oleh Hairee Francis, dan dibantu oleh Donnie Francis, turut menampilkan emosi JeffDom dalam visual yang memukau.
Diterbitkan oleh JayC Panganiban, yang juga merupakan pengurus bakat JeffDom, video ini menghidupkan lagi kisah yang dipaparkan dalam lagu.
Bangat Enda Pechayakini boleh distrim di semua platform digital utama seperti di Spotify, Apple Music, YouTube dan lain-lain.
Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kedalaman cinta dan pengharapan melalui karya terbaharu JeffDom.
JeffDom bukan sekadar seorang penyanyi. Beliau adalah bakat baharu dari Sarawak yang membawa nafas segar dalam dunia muzik tempatan dan serantau.
Dikenali dengan vokalnya yang unik dan personaliti yang memukau, beliau telah mencuri perhatian ramai menerusi gabungan pop melodi pop yang mudah diingat dan elemen budaya Iban yang autentik.
Daripada lagu-lagu rancak seperti Mantap Bro dan Ada Aus Kah hinggalah balada penuh emosi seperti karya JeffDom mempamerkan gaya vokalnya yang hangat dan penuh ekspresi.
Keistimewaannya terletak pada keupayaan menyampaikan cerita yang dekat di hati, menjadikan muziknya bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan jiwa dan budaya.
Lagu-lagu kolaborasi bahasa Iban seperti Oh Natal!, Gawai Ons, Rami Oohhaa, dan lagu Gawai terkini Aram Kitai Gawai mengukuhkan lagi reputasi JeffDom sebagai duta muzik Iban moden.
Bermula dari pentas kecil di kelab karaoke, beliau membina asasnya dengan dedikasi, sebelum berkembang menjadi figura yang disegani di atas pentas besar mahupun di dunia digital.
Kepribadian yang lucu turut menyerlah melalui kandungan media sosialnya yang sering mendapat perhatian ramai.
Kini, JeffDom kembali mencetuskan fenomena dengan single terbaharunya, Bangat Enda Pechaya,yang bukan sahaja menandakan evolusi beliau, tetapi juga kesinambungan perjuangannya dalam mengangkat muzik dan warisan Borneo ke pentas yang lebih luas.
XIBO Entertainment, singkatan kepada XENO Influencers Borneo, merupakan sebuah syarikat hiburan yang berpusat di Bumi Kenyalang, Sarawak.
Ditubuhkan dengan semangat untuk menyerlahkan bakat tempatan, XIBO menghimpunkan barisan artis dan pempengaruh media sosial yang paling menyerlah dan pelbagai pelosok negeri ini.
Sebagai sebuah syarikat rakaman dan pengurusan yang masih muda namun berwawasan jauh, XIBO tampil dengan misi jelas, iaitu untuk menyemarakkan industri muzik dan hiburan di Sarawak, khususnya dalam memperjuangkan karya asli dalam bahasa Iban, Bidayuh serta Melayu Sarawak.
XIBO adalah anak syarikat kepada XENO Entertainment, sebuah agensi artis dan pempengaruh media sosial yang telah mengukir nama sebagai antara yang terunggul di Malaysia.
Melalui sokongan yang kukuh dan jaringan profesional yang luas daripada syarikat induknya, XIBO bersedia menjadi platform utama bagi generasi baru bakat Borneo untuk bersinar di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Menampilkan kombinasi budaya, kreativiti dan teknologi, XIBO Entertainment terus melangkah ke hadapan dalam menjadikan Sarawak sebagai salah satu hab hiburan yang disegani di rantau ini.