PENGHARGAAN … Datuk Lau Ngie Hua (dua, kanan) menyampaikan cenderamata kepada Hii Chang Kee (dua kiri) setelah merasmikan Majlis Penutupan Bengkel dan Kejohanan Xiang Qi Malaysia Timur 2022 di Sibu, malam Isnin lalu.
ANAK kelahiran Sarawak, Jee Xin Ru akan mewakili Malaysia dalam kejohanan Sukan SEA ke-31 di Hanoi 2022.
Jee juga merupakan pemain Xiang Qi wanita Sarawak pertama yang akan mewakili Malaysia ke acara berprestij tersebut.
Berita gembira ini diumumkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Hii Chang Kee pada Majlis Penutupan Bengkel dan Kejohanan Xiang Qi Malaysia Timur 2022 di sini, pada malam Isnin.
“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Jee Xin Ru akan menjadi pemain Xiang Qi wanita Sarawak pertama yang mewakili Malaysia di Vietnam untuk Sukan SEA ke-31 di Hanoi 2022. Tahniah diucapkan kepada beliau,” umumnya semasa berucap mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Hii berkata, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Acara Perniagaan Sarawak akan terus menyokong acara perniagaan dan industri pelancongan untuk membawa lebih banyak acara.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk membantu memulihkan industri pelancongan kesan dari pandemik Covid-19,” katanya.
Mengenai kejohanan itu, Hii merakam ucapan tahniah kepada Kelab Xiang Qi Lanang dengan kerjasama Persatuan Xiang Qi Sarawak kerana dengan jayanya menganjurkan kejohanan tersebut di Sibu.
Katanya, ini adalah kali pertama Kelab Lanang Xiang Qi menganjurkan acara di Malaysia Timur.
“Saya dimaklumkan bahawa kira-kira 160 peserta dari seluruh pelosok Sabah dan Sarawak datang untuk memberi sokongan kepada acara ini.
“Ini juga secara tidak langsung memberi peluang untuk mengembara di dalam negara dan menikmati adat dan juadah tempatan dan mengalami keghairahan dan keramahan penduduk di Sibu,” ujarnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming, Presiden Kelab Xiang Qi Lanang Datuk Lau Ngie Hua dan pengerusinya Ting Duang Chiang, Presiden Persatuan Xiang Qi Sarawak Kapitan Dato’ Lau Sie Lok dan yang lain.
Oleh NURZILLA MOHAMAD