HASRAT Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meraikan gelaran juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut lebih awal tidak tercapai selepas terikat 2-2 dengan Petaling Jaya FC (PJ FC) malam kelmarin, namun ketua jurulatih Benjamin Mora menyifatkan kejuaraan yang dirai di gelanggang sendiri akan lebih manis.
Skuad Harimau Selatan mencatat prestasi cemerlang selepas musim yang ditangguh sejak 16 Mac susulan penularan pandemik Covid-19 bersambung semula dengan kemenangan dalam semua empat perlawananannya termasuk membenam Perak 7-0 dan Selangor, 6-0.
Bagaimanapun, juara enam kali itu gagal mengulangi kehebatan mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi ketika berdepan PJ City yang pernah mengecewakan mereka sebanyak dua kali – kekalahan 0-1 dalam saingan liga pada Julai tahun lepas dan 1-2 dalam saingan Piala Malaysia 2018 – masing-masing di kubu lawan.
“Mereka mempunyai pemain yang berstamina dan dapat berlari dengan pantas, menjadikan malam yang sukar buat kami. Mereka bukan satu-satunya pasukan yang memberi masalah kepada JDT, semua pasukan mahu berbuat demikian, tetapi tak mengapa kerana ini menyedarkan pemain untuk meningkatkan prestasi.
“Kami mengawal perlawanan dan lebih banyak menguasai bola tetapi kami gagal mengatasi gerak balas dan serangan pantas PJ City. Pada babak kedua kami berjaya mengawal rentak namun kami gagal menghasilkan jaringan walaupun mencuba dari pelbagai sudut,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu pada malam Jumaat.
Katanya seboleh mungkin beliau mahu mencatat kemenangan, baik di tempat lawan mahupun di laman sendiri, namun sedar kemenangan tidak semestinya selalu berpihak kepada beliau.
“… namun sudah pasti bermain di Stadium Sultan Ibrahim dan meraih kemenangan (kejuaraan) akan menjadi hadiah yang berharga untuk bos kami TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), pemain dan juga peminat JDT mahu melihat JDT menjulang trofi di sana,” katanya.
Skuad Harimau Selatan membuka jaringan menerusi penyerang prolifik skuad kebangsaan Safawi Rasid pada minit ke-35 tetapi dua minit selepas itu pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi D. Christie Jayaseelan.
PJ City kemudian mendahului perlawanan apabila K. Gurusamy menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45 setelah penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias menjatuhkan penyerang import Brazil, Washington Brandao dalam kawasan kotak penalti. Bagaimanapun JDT bangkit mengikat kedudukan pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan penalti pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera apabila Safawi dikasari.
JDT bakal berdepan Sabah di gelanggang sendiri hujung minggu depan serta Melaka pada 10 Oktober dan Mora menjangkakan satu lagi saingan sengit menentang Sabah, namun yakin pemainnya dapat merangkul kejuaraan selepas mempamerkan “permainan berbisa” di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini.
Sementara itu, jurulatih PJ City K. Devan memuji anak buahnya kerana menunjukkan “tahap permainan bola sepak yang berbeza” ketika menentang pasukan terbaik di negara ini walaupun belum lagi mencatat kemenangan sejak mengecewakan Pahang 3-2 pada Mac lepas untuk mengelakkan penurunan ke Liga Premier.
“Saya rasa ini bukan perlawanan yang berat sebelah, kami bertahan dan menyerang dengan baik, kami menjaringkan dua gol. Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain saya yang kekal dengan strategi permainan. Kami memperoleh satu mata berharga.
“Kami ada dua lagi perlawanan menentang UiTM FC dan PDRM yang mana saya rasa jika pemain boleh kekalkan prestasi seperti (malam) tadi, kita ada peluang untuk kutip mata penuh dan membaiki kedudukan carta liga. Itu sasaran kita,” katanya.
JDT kekal di puncak Liga Super dengan 23 mata selepas sembilan perlawanan, diikuti Perak (17) dan Kedah (16) yang mempunyai satu kelebihan perlawanan, sementara PJ City berjaya naik ke tempat kesembilan dengan lapan mata, di depan Felda United (7), Sabah (6) dan diturunkan Polis (-1).- Bernama