
SIBU: Junior Chamber International (JCI) Methodist Institut Pilley (MPI) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menubuhkan organisasi pelajar baharu, JCI Youth MPI dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di kampus MPI, baru-baru ini.
Penubuhan JCI Youth MPI ini bertujuan menyediakan platform bermakna kepada pelajar dalam pembangunan kepimpinan, penglibatan sivik dan pertumbuhan peribadi yang menyeluruh.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengetua yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Lu Huong Ying dan Presiden Tempatan JCI Mandarin Sibu 2025, Alexander Ling Chung Chian.
Alexander Ling dalam ucapannya berkata, penubuhan JCI Youth MPI merupakan kesinambungan daripada usaha berterusan JCI Mandarin Sibu untuk memperkasa kepimpinan belia di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa sejak tahun 2023, di bawah kepimpinan Boston Ho, organisasi itu telah giat memperkenalkan nilai-nilai teras JCI kepada komuniti kolej di Sibu.
“Nilai-nilai seperti kewarganegaraan aktif, latihan kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat adalah asas dalam membentuk belia yang proaktif dan bertanggungjawab. Kerjasama dengan MPI ini adalah satu pencapaian besar ke arah merealisasikan visi tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Lu Huong menzahirkan penghargaan kepada JCI Mandarin Sibu atas kepercayaan dan jalinan kerjasama yang terjalin.
Beliau menegaskan komitmen MPI dalam menyediakan platform untuk pembangunan holistik pelajar dan yakin bahawa penubuhan JCI Youth MPI akan membuka peluang luas kepada pelajar untuk mengasah kepimpinan serta menyumbang kepada masyarakat.
“JCI merupakan sebuah organisasi belia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang berusaha membentuk warganegara berumur antara 18 hingga 40 tahun menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan membawa perubahan positif.
“Misi ini selari dengan nilai-nilai MPI dalam melahirkan pelajar yang berkesedaran sosial dan bersedia untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Kedua-dua pihak optimis bahawa kerjasama strategik ini bukan sahaja akan memperkukuh pembangunan kepimpinan belia malah menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih aktif, progresif dan berdaya saing di Sibu.
Oleh Akun Giman