SIBU: JCI Mandarin Sibu dan JCI Youth MPI terus memperkasa golongan belia menerusi pendedahan kepada dunia keusahawanan apabila menganjurkan program lawatan korporat ke Poh Guan Hong (1985) Sdn Bhd, baru-baru ini.
Program itu memberi peluang kepada ahli, rakan-rakan dan keluarga mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai sejarah, operasi serta perkembangan sebuah perusahaan tempatan yang berjaya bertahan dan berkembang merentasi beberapa generasi.
Para peserta disambut Pegawai Bertanggungjawab Poh Guan Hong yang juga generasi ketiga keluarga berkenaan, Ting Dao Kang, yang bertindak sebagai hos lawatan. Beliau turut berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai pengurusan dan kesinambungan perniagaan keluarga.
Poh Guan Hong (1985) Sdn Bhd merupakan antara perusahaan perubatan tradisional Cina yang mempunyai sejarah panjang di Sibu dan dikenali menerusi produk tradisionalnya, khususnya Ubat Sakit Perut Cap Rusa Sing Kong Chui.
Produk berkenaan dipercayai pengguna sejak beberapa generasi dan kini diedarkan ke seluruh Malaysia.
Sepanjang lawatan, peserta berpeluang melihat dengan lebih dekat operasi syarikat serta memahami proses pengeluaran produk perubatan tradisional Cina.
Ting turut berkongsi pengalaman berkaitan keusahawanan, kesinambungan perniagaan keluarga serta cabaran dalam memastikan sesebuah perusahaan terus berkembang dan kekal relevan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Perkongsian itu memberi gambaran kepada peserta mengenai kepentingan mengekalkan nilai, budaya dan warisan sesebuah perniagaan, di samping keperluan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran perniagaan moden.
Presiden JCI Mandarin Sibu 2026, Simon Tiong, berkata lawatan korporat berkenaan bukan sekadar kunjungan ke sebuah syarikat, sebaliknya menjadi platform pembelajaran secara langsung kepada peserta.
“Kami mahu ahli dan peserta melihat sendiri bagaimana sebuah perniagaan tempatan boleh berkembang dan kekal relevan merentasi beberapa generasi.
“Poh Guan Hong merupakan contoh baik perusahaan tempatan Sibu yang berjaya membina reputasi melalui produk, warisan dan komitmen terhadap perniagaan,” ujarnya.
Menurutnya, peluang belajar secara langsung daripada usahawan tempatan yang berpengalaman amat bernilai kepada golongan muda kerana pengalaman dan pengetahuan sebenar dalam dunia perniagaan tidak semestinya dapat diperoleh menerusi pembelajaran di dalam bilik darjah.
Lawatan itu turut menjadi platform untuk ahli JCI, rakan-rakan dan keluarga berinteraksi, membina jaringan serta mengenali dengan lebih dekat perusahaan tempatan yang mempunyai sejarah dan identiti tersendiri di Sibu.
Sebagai tanda penghargaan, pihak Poh Guan Hong (1985) Sdn Bhd turut menyediakan cenderahati khas kepada peserta.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JCI Mandarin Sibu di bawah tema tahunannya bagi 2026, “RECONNECT • RECHARGE • RISE”, yang membawa semangat “Hubungkan Semula • Perkasa Semula • Bangkit Lebih Tinggi”.
Tema itu mencerminkan usaha JCI Mandarin Sibu untuk mengeratkan hubungan antara ahli, komuniti dan sektor perniagaan, selain menggalakkan pembelajaran berterusan, pertumbuhan diri dan semangat untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
JCI Mandarin Sibu turut merakamkan penghargaan kepada Poh Guan Hong (1985) Sdn Bhd dan Ting atas sambutan, layanan serta kesudian berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan peserta.
JCI Mandarin Sibu akan terus menganjurkan program lawatan korporat, aktiviti kemasyarakatan dan platform pembelajaran bagi menghubungkan golongan belia dengan syarikat serta usahawan tempatan, di samping menyemai semangat keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan komuniti di Sibu.
Oleh Akun Giman




