
KUCHING: Junior Chamber International (JCI) digesa untuk menyelaraskan program dan aktiviti mereka dengan tiga megatrend global iaitu perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan potensi pandemik baharu bagi menghadapi cabaran masa depan secara lebih berkesan.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, JCI sebagai badan bukan kerajaan belia harus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan melaksanakan tindakan berimpak tinggi berkaitan isu-isu global yang mendesak itu.
“JCI perlu merangka serta melaksanakan program yang bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar tetapi juga memberi manfaat ekonomi dan sosial terutamanya kepada golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Media 30 Terbaik Finalis Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia (JCIM SDA) yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo, hari ini.

Tambah Dr Hazland, kerjasama erat antara JCI dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti antarabangsa amat penting untuk memperkukuh kapasiti golongan muda menghadapi perubahan global yang pesat.
“Inisiatif bersama ini akan memastikan belia sentiasa bersedia dan berdaya tahan dalam menempuh cabaran masa depan dengan penuh inovasi dan ketahanan,” ujarnya.
Anugerah Pembangunan Lestari JCI Malaysia (JCIM SDA) merupakan satu platform yang bertujuan mengiktiraf usaha dan projek berteraskan kelestarian yang dijalankan oleh golongan muda di seluruh negara, selaras dengan visi pembangunan inklusif dan hijau negeri.
Majlis sidang media turut menyaksikan pengumuman finalis 30 Terbaik yang mempamerkan komitmen cemerlang dalam pembangunan lestari serta projek komuniti yang memberi impak positif di seluruh Malaysia.
Oleh Amanda L.