
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak terus memperkukuh kesiapsiagaan sumber manusia serta aset darat dan udara bagi menghadapi fenomena Super El Nino yang sedang melanda negara.
Persiapan itu melibatkan penyusunan gerak kerja logistik secara berterusan dengan aset darat dan udara ditempatkan secara strategik di kawasan titik panas (hotspot) serta lokasi baharu yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kebakaran.
Langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil dalam membendung peningkatan kes kebakaran, khususnya kebakaran terbuka yang lazim berlaku ketika cuaca panas dan kering.

Berdasarkan analisis serta pemantauan JBPM Sarawak bermula 1 Julai lalu, berlaku peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga hari iaitu pada 10, 11 dan 12 Julai.
Setakat ini, Bahagian Kuching dan Miri merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi berbanding bahagian lain di negeri ini.
Walaupun jumlah kes masih berada pada tahap terkawal dan stabil, JBPM berpandangan situasi itu berpotensi menjadi lebih serius sekiranya tiada langkah pencegahan diambil, terutama ketika cuaca panas berterusan.
Selain meningkatkan risiko kebakaran, pembakaran terbuka juga boleh menjejaskan kesihatan awam serta aktiviti harian masyarakat akibat pencemaran asap.

Sehubungan itu, orang ramai diseru menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan serta alam sekitar.
Dalam masa sama, JBPM Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu atau syarikat yang melakukan pembakaran terbuka sehingga memudaratkan alam sekitar.
Sementara itu, kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Taman Negara Niah bermula semalam selepas dipercayai berpunca daripada sambaran petir yang menyebabkan pokok-pokok di kawasan puncak bukit batu kapur terbakar.
Bagi menangani kejadian tersebut, Unit Udara Bomba yang berpangkalan di Miri telah digerakkan untuk melaksanakan operasi pemadaman menggunakan kaedah pengeboman air dari udara.
Oleh Norman B



