
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak mempunyai sumber dan anggota yang mencukupi bagi menangani peningkatan kes kebakaran di negeri itu ketika ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata dengan nisbah anggota kepada populasi melebihi purata kebangsaan, kesiapsiagaan itu diperkukuh melalui penyusunan strategi operasi di peringkat balai, zon dan negeri termasuk pelaksanaan pertukaran syif, pembekuan cuti serta penempatan semula anggota.
“Dari segi masa tindak balas, JBPM Sarawak terus mengekalkan keupayaan respons yang efisien bergantung kepada lokasi kejadian dan tahap aksesibiliti khususnya di kawasan mencabar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata JBPM menjalinkan kerjasama dengan pebagai agensi berkaitan bagi menangani kes kebakaran namun penguatkuasaan bersepadu dengan organisasi lain seperti pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar juga diperlukan.
Nor Hisham berkata selain itu, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kebakaran terbuka menetapkan garis panduan khusus yang perlu dipatuhi semua pihak termasuk pemilik ladang dan tanah pertanian.
“SOP kebakaran terbuka tersendiri termasuk deployment logistic dan anggota pemadaman dari pemilik ladang juga termasuk dalam SOP, bertujuan mempercepat tindak balas di peringkat awal kejadian,” katanya sambil menambah pihaknya turut memanfaatkan imej satelit bagi mengenal pasti titik panas secara lebih sistematik dan berterusan bagi tujuan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata laporan orang awam masih kekal sebagai sumber maklumat paling berkesan dalam membantu pengesanan awal kejadian kebakaran.
Nor Hisham juga berkata pengurusan operasi kebakaran dan bencana akan digerak di bawah pelaksanaan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara sekiranya keadaan memerlukan khususnya apabila melibatkan situasi berskala besar atau melangkaui keupayaan operasi biasa di peringkat negeri.
Beliau berkata arahan itu berfungsi sebagai mekanisme penyelarasan antara pelbagai agensi bagi memastikan setiap tindakan di lapangan dilaksanakan atau pengurusan logistik lebih berkesan.
Menyentuh mengenai usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan pada masa hadapan, Nor Hisham berkata pembinaan beberapa balai bomba baharu di Sarawak dilaksana secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan semasa dan jangka panjang.
“Antara balai bomba yang sedang dalam pembinaan ialah di Sungai Asap, Belaga; Engkelili di Sri Aman dan Dalat di Mukah berdasarkan penilaian risiko setempat.
“Pembinaan balai baharu itu bukan sahaja bertujuan mempercepat masa tindak balas malah memastikan capaian perkhidmatan bomba lebih menyeluruh terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Nor Hisham berkata dengan adanya kemudahan itu, penempatan aset dan anggota dapat diagihkan secara lebih strategik sekali gus meningkatkan keupayaan operasi dalam menangani kebakaran serta insiden lain dengan lebih cekap dan berkesan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya terutama dalam keadaan cuaca panas tanpa memikirkan risiko kebakaran.
Sementara itu, JBPM Sarawak memaklumkan bahawa berlaku kebakaran di Kampung Penasu, Daro, Mukah dan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu dengan kawasan terjejas masing-masing kira-kira 10 dan 16 hektar.
Bagi kebakaran di Kuala Tatau-Serupai di Tatau, Bintulu yang memasuki hari keenam pula melibatkan kawasan seluas 400 hektar, dengan 100 hektar daripadanya berjaya dipadamkan semalam.
-Bernama