EARL ANEK
TAHUKAH anda, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan antara petugas barisan hadapan atau ‘frontliners’ yang ditugaskan dalam usaha kerajaan memerangi penularan wabak pandemik Covid-19.
Walaupun bertugas sebagai barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak berbahaya ini, tugas dan tanggungjawab menangani kes-kes kecemasan seperti memadam kebakaran dan tugas menyelamat mangsa bencana tetap perlu direspon segera sekiranya terdapat kes-kes tersebut.
Disinilah timbul pelbagai cabaran baharu bagi setiap anggota bomba yang tanpa lelah dan tanpa jemu memberi perkhidmatan terbaik dan bermutu kepada masyarakat awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin yang ditemubual Utusan Sarawak berkata, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan diri melaksanakan cabaran penugasan Covid-19 dan melaksanakan penugasan kecemasan harian, pihak bomba sentiasa siap sedia pada setiap masa.
“Kita (bomba) sentiasa ambil berat setiap kes yang berlaku dan pelindungan diri semasa mengendalikan setiap kes kerana kita sedang berdepan dengan isu kesihatan global iatitu wabak pandemik Covid-19.
“Setiap kes kecemasan biasa yang berlaku pada masa ini, pasukan bomba perlu pelindungan maksimum kerana kita tidak tahu mangsa yang kita ingin selamatkan atau kawasan tempat operasi kes telah terdedah dengan wabak pandemik Covid-19.
“Dalam setiap tugasan atau respon terhadap kes kecemasan, kita perlu mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.
Katanya, ssetiap anggota bomba perlu mematuhi SOP bagi memastikan tugas yang dilaksanakan berjalan lancar dan mereka tidak terdedah dengan wabak pandemik Covid-19.
Berkenaan dengan operasi sanitasi di tempat awam dan bangunan kerajaan, PPgB Mahmudin Narudin berkata, penggunaan pakaian pelindung diri atau ‘Personal Protective Equipment’ (PPE) amat penting bagi memastikan anggota bomba yang menjalankan operasi sanitasi terlindung dari kuman dan virus yang berbahaya.
“Anggota bomba juga perlu menggunakan sarung tangan pakai buang serta topeng mulut dan hidung untuk pelindungan maksimum bagi memastikan tahap kesihatan terus terjaga.
“Dari segi kesihatan, anggota bomba yang bertugas menjalani operasi sanitasi seperti di premis-premis kerajaan dan tempat awam perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik.
“Pemeriksaan suhu badan dan memastikan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik adalah penting sebelum bertugas mengendalikan operasi sanitasi,” ujarnya.
Beliau turut memberikan panduan dari JBPM bagi disinfeksi rumah dan tempat kerja peribadi bagi masyarakat awam yang ingin menjalankan sanitasi di kediaman atau premis perniagaan masing-masing untuk penjagaan dari wabak pandemik Covid-19.
“Sebelum melakukan sanitasi, sediakan peralatan, bahan dan pakaian pelindungan diri.
“Peralatan yang diperlukan ialah kain lap, mop dan bekas spray air. Bahan yang diperlukan untuk sanitasi ialah ‘Dettol’, ‘Clorox’, sabun dan lain-lain bahan yang sesuai.
“Sebagai pelindung diri semasa melakukan sanitasi, gunakan topeng mulut dan hidung serta sarung tangan getah pakai buang,” katanya lagi.
Jelasnya, untuk mensanitasi alat elektronik, pasangkan penutup (cover) yang mudah dicuci, patuhi arahan pembekal alat berkaitan untuk kaedah mencuci dan jika tiada arahan, bersihkan dengan menggunakan cecair yang mengandungi 70-95% alkohol.
“Untuk perabot dan lantai, lap dan cuci permukaan yang kerap disentuh dengan air sabun atau bahan disinfeksi, mop lantai menggunakan larutan disinfeksi danulang sekerap yang boleh.
“Bagi pakaian, langsir, cadar dan lain-lain, sentiasa cuci pakaian yang kerap dipakai, patuhi arahan pembekal seperti laraskan suhu mesin basuh mebgikut kesesuaian bahan dan pakai sarung tangan pakai buang (jika perlu) semasa menguruskan pakaian kotor.
“Permaidani dan kusyen atau lain-lain perlu dibersihkan dengan air sabun atau bahan yang sesuai, keringkan dibawah cahaya matahari dan sekiranya mencuci dengan mesin basuh, pastikan mematuhi arahan pembekal dan laraskan pada suhu panas mengikut kesesuaian,” jelasnya.
Menurut PPgB Mahmudin Narudin, langkah seterusnya selepas tamat operasi sanitasi di rumah sendiri atau premis perniagaan, buang sarung tangan dan topeng mulut dan hidung kedalam tong sampah.
“Kemudian, basuh tangan dengan sabun dan air setelah semua peralatan pelindungan diri dibuka. Cuci dan keringkan peralatan pembersihan, simpan ditempat yang selamat.
“Sekiranya terdapat sebarang gejala kesihatan, sila berjumpa dengan doktor dengan kadar segera,” ujarnya lagi.
Beliau turut menasihati masyarakat awam agar sentiasa mematuhi saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ikut garis panduan dari KKM setiap masa terutama dari aspek kesihatan dan penjagaan diri di tempat awam atau di pasar raya.
“Sentiasa mencuci tangan dengan air sabun atau ‘hand sanitizer’, amalkan penjarakkan sosial dan pakai topeng mulut dan hidung bila keluar rumah,” katanya. Selain itu, beliau juga berharap masyarakat awam sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan negara kita bebas dari cengkaman wabak pandemik Covid-19.